Wednesday, September 2, 2009

PERSEDIAAN UNTUK BULAN RAMADHAN: Bahagian 2

Rasulullah ﷺ telah bersabda:
“Ramadan telah datang kepada kamu sebagai sebuah bulan yang penuh berkat, Allah kurniakan kita keampunan. Oleh itu Allah turunkan keampunan, melenyapkan dosa, perkenankan doa-doa dan melihat kita bersaing untuk kebaikan dan Dia memuji manusia kepada malaikat-malaikatNya. Oleh itu tunjukkan yang terbaik kepada Allah, kerana orang yang engkar kepada perintah Allah tidak akan dapat keampunan dari Allah”.

Rasulullah ﷺ telah bersabda:
“Ramadan adalah satu perlumbaan, pertandingan.”

Kita hendaklah berharap agar kita termasuk dalam golongan orang-orang yang dipuji Allah kepada malaikat-malaikatNya. Bayangkan jika Allah memanggil nama kita dan memberitahu kepada para malaikat dan menyuruh malaikat datang melihat ibadah yang telah kita kerjakan sebagaimana yang diperintahNya.

Berikut adalah sambungan dari kuliah yang lepas mengenai persediaan kita untuk menghadapi bulan Ramadan:-

2) Kita mestilah tingkatkan tahap motivasi kita - ini boleh dilakukan dengan meningkatkan ibadah kita ketika di bulan Rajab dan Sya’ban lagi. Contoh-contohnya termasuklah: mempertingkatkan solat nawafil (solat sunat) selepas atau sebelum solat fardhu yang 5 waktu. Ini harus dilakukan jika ia belum dipraktikkan lagi. Seelok-eloknya, kita harus memperbanyakkan solat nawafil seperti yang disarankan di dalam sunnah (Hadith- lihat m/s 34 : 12 rakaat iaitu 2 sebelum Subuh, 4 sebelum Zohor, 2 selepas Zohor, 2 selepas Maghrib, 2 selepas Isya’). Jika seseorang itu tidak pernah melakukan solat sunat Dhuha, maka eloklah dilakukan. Digalakkan juga melakukan Qiamullail, mulai berpuasa sunat dari bulan Sya’ban kemudian membaca Al-Quran selepas solat subuh.

Untuk berjaya melakukan semua ini, hendaklah:

• Tidur awal agar kita dapat bangun awal untuk Qiamullail. Banyakkan rehat selepas solat Zohor agar lebih bertenaga untuk beribadah. Pertingkatkan amalan zikir pagi dan petang dari Al-Quran dan Hadith – ini terdapat dalam buku Hisnul Muslim (Perisai Muslim). Jangan sesekali tinggalkan zikir harian.

• Perbanyakkan doa terutama pada waktu mustajab berdoa seperti satu jam terakhir sebelum berbuka puasa (masa maghrib), pada hari Jumaat. Kita sewajarnya melakukan apa-apa sahaja ibadat yang sebelum ini belum pernah kita lakukan.

3) Latihan diri terutama – Pelihara deria kita yakni: penglihatan, pendengaran dan juga lidah agar kita akan sentiasa takut dan mengingati Allah. Dengan cara begini, dapat menyucikan jiwa seseorang. Ingat! Apa yang kita lakukan akan membersihkan hati/jiwa kita. Kita hendaklah berusaha untuk mengawal deria kita dari naluri nafsu. Kita sering melihat, mendengar dan bercakap apa sahaja yang kita mahu tanpa sebarang batas.

Untuk mengawal nafsu, kita hendaklah elakkan pergi ke tempat-tempat yang mempunyai unsur fitnah (dugaan kepada penglihatan, pendengaran dan lidah kita) kerana ini dapat menggugat iman seseorang itu. Sebaiknya, kita harus menggunakan mata kita untuk melihat perkara-perkara yang baik dan diredhai Allah.

Latihan telinga - untuk selalu mendengar Al-Quran dan jangan terjerumus dalam fitnah/mengumpat, berbohong, hindari daripada mendengar muzik.

Latihan lidahnya - elakkan daripada banyak bercakap, latihan diri untuk perbanyakkan zikir.

Kita hendaklah melatih diri untuk benci membuat dosa.

Kenapakah kita tidak berasa bersalah bila berbuat dosa? Ini adalah kerana kita telah terlampau banyak berbuat dosa sehingga kita tidak berasa takut lagi kepada fitrah asal manusia iaitu takut berbuat dosa. Kita lali dengan dosa-dosa yang kita lakukan !

Nabi Muhammad ﷺ bersabda:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ ، فَإِن لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ ، فَإِن لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الإِيمَانِ.
“Barangsiapa di antara kamu melihat sesuatu kemungkaran, haruslah ia mengubahnya dengan tangannya, jika tidak mampu, dengan lidahnya, jika tidak mampu juga, hendaklah dengan hatinya, yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.”

Dengan itu, hendaklah berusaha agar tidak membiarkan diri kita berterusan melakukan dosa. Latih diri untuk benci berbuat dosa dan kawal nafsu kita.


BAGAIMANAKAH CARA UNTUK KITA KEMBALIKAN KEIMANAN DAN KEPEKAAN (KEPADA DOSA) KE DALAM HATI KITA?

Kita hendaklah berpegang teguh dengan Sunnah sebagaimana firman Allah:

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah ke dalam agama Islam dengan sepenuhnya…”
(Surah Al-Baqarah: 208)

i) Pertama sekali kita hendaklah perbanyakkan bacaan Al-Qur'an, melakukan solat dengan ikhlas, Allah memberi amaran bahawa diturunkan malapetaka kepada orang-orang yang ingkar (kafir) agar mereka tidak angkuh. Kita kena perbanyakkan DOA dengan penuh penghayatan dan emosi dengan cara begini, hati kita akan kembali suci seperti asal.

ii) Kita hendaklah menjauhkan diri daripada berbuat dosa samada zahir atau batin agar mental dan fizikal kita juga akan turut menolak dosa. Dengan ini kita kembali memberi peluang untuk balik beriman kepada Allah.

Apakah kaitannya dengan bulan Ramadan?

Ini adalah persiapan kita untuk membersihkan hati kita, supaya bulan segala ibadah Ramadan dapat dilaksanakan dan kita dapat menikmati kemanisan ibadah itu. Perkara-perkara di atas dapat menyuci diri kita zahir dan batin - agar penghayatan bulan Ramadan lebih bermakna.

Latihkan diri kita untuk merasa rendah diri di hadapan Allah. Dengan ini kita menunjukkan bahawa kita amat memerlukan Allah yang Maha Esa. Apabila kita tidak merendahkan diri kita di hadapan Allah – ini menunjukkan seseorang itu merasa dirinya elok dan baik, justeru itu dia tidak memerlukan sesiapa dan tiada apa-apa kelemahan. Apabila kita melatihkan diri kita untuk merasa rendah diri dihadapan Allah, barulah kita dapat merasai betapa pentingnya untuk kita bergantung hanya kepada Allah.

Allah berfirman kepada Nabi Muhammad ﷺ :

“Sesungguhnya kami telah turunkan kepada kamu 7 ayat yang berulang-ulang dan Al Quran yang agung. Maka janganlah kamu sekali-kali cenderung kepada kenikmatan hidup yang telah kami berikan kepada beberapa golongan dari mereka (orang kafir), dan janganlah kamu bersedih hati terhadap mereka dan berendah dirilah kamu terhadap orang-orang yang beriman.” Surah Al-Hijr: 87-88)

Allah telah memilih kita untuk mengabdikan diri kepadaNya dan telah memberi rahmat kepada kita dengan aqidah yang betul.

Satu doa yang elok dibaca:
“Ya Allah janganlah Engkau memberi musibah kepada kami dalam agama kami.” Jika Allah tidak membimbing kita ke jalanNya yang lurus, kita tidak akan bertahan lama. Kita sentiasa memerlukan Allah untuk membimbing kita memikul agama ini. Apa juga musibah yang berlaku ia mengajarkan kita untuk kembali kepada jalan Allah yang lurus.

APAKAH PERBEZAAN ANTARA UMAT ISLAM DALAM PERANG UHUD DAN PERANG BADAR?

Umat Islam dalam Peperangan Badar lebih merendah diri dan amat berserah diri (tawakal) kepada Allah. Di antara mereka berkaki ayam, tidak berbaju, miskin dan sanggup berlapar.

Dalam perang Badar Nabi Muhammad ﷺ telah berdoa memohon kepada Allah: “Ya Allah! Sekiranya Engkau musnahkan kaum ini nescaya Maha Suci Engkau tidak ada yang akan menyembah Engkau di muka bumi ini.” Jadi dalam peperangan Badar, umat Islam dalam keadaan lemah secara zahirnya tetapi mereka kuat bergantung (tawakal) kepada Allah.

Manakala dalam Peperangan Uhud pula umat Islam dalam keadaan penuh keyakinan pada diri sendiri sehingga mereka lemah atau lalai tawakal terhadap Allah. Lalu Allah menunjukkan akibat kelemahan tawakal mereka itu, dan betapa mereka itu sepatutnya mengharapkan pertolongan Allah.

4) Mengagungkan dan mengESAkan Allah - adalah tanda-tanda pengabdian kepada Allah. Seperti rukun Islam yang lima, solat, haji, puasa (Ramadan), zakat- semua ini adalah perbuatan yang mengagungkan Allah sebagaimana Firman Allah yang bermaksud: “Sesiapa yang membesarkan syiar-syiar Allah maka dia di antara mempunyai ketaqwaan dihatinya.”

Kita juga tidak boleh memandang ringan terhadap perkara-perkara yang berkaitan dengan keagungan syiar Allah seperti : hijab, puasa, solat dan lain-lain.

Shaikh Hussain Yaqoob telah berkata:
“Kelalaian atau hati yang keras adalah amat merbahaya kepada agama kita yakni iman kita. Ini menyebabkan seseorang itu tidak mengambil berat kepada agama. Kita hendaklah menghidupkan dan mensucikan semula hati kita sebelum datangnya Ramadan agar kita dapat meraih nikmat dengan sepenuhnya. Kita mahu diri kita berubah setelah melalui Ramadan yang mulia. Ketahuilah bahawa pintu-pintu syurga pada masa itu terbuka dan pintu neraka tertutup.”


Tanyalah pada diri sendiri, apakah akan berlaku jika aku di antara hambaNya yang terpilih untuk masuk syurga? Maka ini adalah peluang yang terbaik.

Shaikh berkata:
Kita merebut peluang tersebut dengan mematuhi perintah Allah dan renungi ganjarannya seperti : apabila kita mendengar azan maka kita menjawab azan, bila selesai azan kita membaca doa azan dan berdoa kepada Allah dan mengambil wudhu sambil mengingati bahwa setiap kali kita mengambil wudhu maka dosa akan jatuh bersama-sama titisan wudhu itu.

Seorang Sahabah telah ditanya :
“Bagaimanakah kamu mendapati khusyu’ dalam solat?” Lalu dia menjawab: “Aku duduk untuk beberapa minit, aku berfikir dan aku berharap kepada Allah mengkhusyu’kan aku sebelum aku dirikan solat.”

Shaikh berkata:
“Sebenarnya umat Islam secara keseluruhan gagal mengecapi kemanisan bulan Ramadan. Sekiranya kita telah benar-benar berpuasa seperti yang dituntut, walaupun satu hari di bulan Ramadan sudah pasti keadaan umat Islam akan berubah..”

Sebenarnya adalah sangat penting untuk kita mengetahui & meneliti apakah matlamat (goals) yang patut kita capai dibulan Ramadan itu. Ramai yang memulai puasa Ramadan tanpa sebarang matlamat atau azam...justeru itu Ramadan berlalu begitu sahaja.

Apakah Matlamat Kita Dalam Bulan Ramadan?

Kita mestilah IKHLAS kerana Allah dan ianya datang dari hati yang suci. Maka kita akan dapat apa yang diharapkan dari keikhlasan kita itu. BANYAKKANLAH BERDOA terutama pada waktu malam di bulan Ramadan.

No comments:

Post a Comment