Friday, September 11, 2009

MERAIH KEBERKATAN BULAN RAMADAN – Bahagian 1

Cuba bayangkan terdapat sebatang pokok yang mempunyai buah-buahan yang lazat dan kamu boleh memetik mana-mana satu atau kesemuanya sekali. Sesetengah buah tersebut amat istimewa sekali. Adakah kamu akan berusaha mencapai buah tersebut? Tentu sekali! Buah-buah istimewa itu patut menjadi sasaran kamu. Pada bulan Ramadan, selain ibadah puasa, terdapat beberapa ibadah lain yang seharusnya menjadi tumpuan kamu.

AL QURAN

Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 185:

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al Quran…”

Allah mengaitkan Ramadan dengan Al-Quran kerana ianya bulan ketika Al-Quran diturunkan, iaitu seolah-olah kita menyambut saat kitab suci ini diwahyukan. Kenapakah dalam bulan Ramadan khususnya manusia menghampirkan diri kepada kitab Al Quran?

Allah berfirman lagi dalam Surah Al-Baqarah ayat 2:

“Kitab Al Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang kesempurnaannya); Ia pula menjadi petunjuk bagi orang yang (hendak) bertaqwa.”

Kitab ini amat istimewa kerana terdapat penyelesaian kepada apa-apa saja serta kepada segala perkara. Ia merupakan petunjuk kepada umat manusia. Al-Quran berbicara terus ke hati manusia dan menghidupkan jiwa mereka.

Menurut Shaikh Muhammad Hussain Yaaqob: “Umat Islam kita kini menjalani kehidupan jauh dari Al-Quran.” Kenapa terjadi begitu? Kerana kita tidak merasakan kitab Al-Quran itu diturunkan untuk umat manusia, daripada Pencipta langit dan bumi. Bayangkan saat ketika Al-Quran diwahyukan (diturunkan). Golongan kafir Makkah pada ketika itu hidup dalam kegelapan. Hanya segelintir yang mengalami perubahan sehingga lahirlah Abu Bakar r.a., Umar r.a., Ali r.a., Uthman r.a. dan lain lain lagi.

Kini wujud beberapa kumpulan muslim yang taat iaitu mereka yang menjaga akidah Islam, yang mementingkan halal haram dan yang sibuk membaca buku tentang akidah, fiqh, serta sirah tetapi mereka lupa mengkaji Al-Quran. Al-Quran akan menimbulkan “pertarungan” dalam diri orang yang mengkajinya. Al-Quran ialah Furqan - Ia dapat melenyapkan perasaan was-was. Ia juga penawar untuk semua perkara seperti bisikan/niat jahat, tekanan (stress), kesedihan, masalah jiwa dan lain lain. Al-Quran merupakan rawatan yang paling mujarab.

Al-Quran ialah makanan rohani yang akan mengekalkan kamu pada jalan yang benar. Mereka yang menyeleweng ialah mereka yang menjalani kehidupan tanpa Al-Quran. Sekiranya kamu memelihara Al-Quran, maka Allah akan membimbing kamu ke jalan yang lurus.

Al-Quran umpama nur atau cahaya. Bayangkan kamu berada dalam sebuah bilik gelap. Al-Quran lah cahayanya dan akan terpancar di wajah kamu, di lidah yaqni dalam kata-kata mu.

Allah berfirman dalam Surah An-Nur ayat 35:

“Allah menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al Quran) adalah sebagai sebuah “misykaat” yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam bekas kaca, bekas kaca itu pula (jernih/terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang. Lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari): hampir-hampir minyak itu - dengan sendirinya – memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin siapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap tiap sesuatu.”

1. Misykaat (iaitu tempat sesuai untuk meletakkan lampu) umpama orang mukmin

2. Bekas Kaca umpama hati orang mukmin
- Kaca bersifat jernih dan suci. Sesungguhnya hati seorang mukmin jernih dan suci; tanpa kesan kotoran dan tompok hitam yang menghalang seorang mukmin untuk melihat kebenaran. Kaca bersifat lembut bagaikan hati seorang mukmin yang lembut dan penuh sifat pengasih serta belas kasihan terhadap para mukmin lain. Namun, walaupun kaca bersifat lembut, kaca juga bersifat mantap/teguh. Orang mukmin tidak berubah mengikut persekitaran. Hati orang mukmin mantap/teguh dan tidak mudah lemah mengikut ke arah sana dan arah sini. Hati seorang mukmin kuat dan teguh. Zikir menghuni hati orang mukmin.

3. Cahaya umpama iman orang mukmin.

4. Pokok (dari mana minyak itu diambil) umpama Wahyu Allah iaitu Al-Quran dan Sunnah. Pokok tersebut ditanam di tempat yang terbaik di tengah-tengah ladang. Ajaran Al-Quran mengambil jalan tengah serta jalan yang paling jauh dari kesesatan. Iman orang mukmin diperkukuh dengan penurunan wahyu daripada Allah. Jika lebih banyak minyak diisi ke dalam bekas kaca itu, lebih bersinarlah cahaya itu dan akan tahan lebih lama. Dengan demikain, makin banyak ayat Al-Quran diisikan ke dalam hati, maka insya Allah akan semakin kuatlah iman kamu. Ayat Al-Quran menjadi santapan iman dan cara yang paling cepat untuk meningkatkan iman ialah menerusi Al-Quran.

Allah berfirman bahawa ayat-ayat Al-Quran dapat diisikan ke dalam hati orang mukmin. Kamu boleh pilih untuk mengisi hati kamu sebanyak 1/4, 1/3, 1/2 atau diisi penuh dan seterusnya hingga melimpah ruah. Apabila ia melimpah, maka akan terpancarlah pada wajah, pada anggota badan, pada tingkah laku dan sebagainya. Orang mukmin tersebut akan menjadi bagaikan cahaya yang berjalan. Subhanallah… Ketika Hari Kiamat, cahaya inilah yang akan wujud pada siraat yang lebih halus daripada rambut kita. Cahaya daripada Allah itu amat adil. Akan ada mereka yang merangkak di atas siraat, yang berlari di atas siraat, ada yang menunggang kuda di atas siraat, ada yang bergerak laju seperti kilat – kesemuanya bergantung pada keadaan hidup mereka ketika di dunia. Sekarang, nilailah diri kamu sendiri! Kitab Quran ini akan menyelamatkan kita di dunia dan di akhirat.

Quran merupakan tanda belas kasihan/rahmat Allah.

Allah berfirman dalam Surah Al Ankabut ayat 51:-

“Tidakkah cukup bagi mereka bahawa kami telah menurunkan kapada mu (Muhammad) Al Quran yang dibacakan kepada mereka? Sesungguhnya Al Quran yang diturunkan itu mengandungi rahmat dan peringatan bagi orang yang beriman”.

Surah Asy-Syuuraa ayat 52:-

“Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu wahai Muhammad – Al Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati) dengan perintah Kami…… Kami jadikan Al Quran cahaya yang menerangi. Kami beri petunjuk denganNya sesiapa yang kami kehendaki antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad ﷺ) memberi petunjuk dengan Al Quran itu ke jalan yang lurus.”

Dengan demikian Al-Quran itu nyawa bagi hati dan jiwa kamu. Tanpanya, hati dan jiwa kamu akan mati. … Semakin banyak ayat Al-Quran yang diselami, semakin banyak petunjuk yang diperolehi. Apabila kamu meninggalkan Al-Quran, itulah tanda bermulanya kehancuran kamu.

Adalah TIDAK WAJAR bagi seorang muslim yang mengasihi Allah, namun Al-Quran tidak di hatinya. Kamu patut bertekad, “Aku mahu menghafal seluruh Al-Quran” dan “Aku mahu mempelajari tafsir Al-Quran”, supaya pada mana-mana saat dalam hidup kamu akan ada sepotong ayat yang boleh membantu kamu, memberi panduan kepada kamu, serta menenangkan kamu. Hiduplah dengan Al Quran di sisi kamu (hafal pada siang hari, baca Al Quran pada malam hari dalam ibadah Qiamullail) – Ia merupakan suatu hidayah daripada Allah.

Ramadan ialah masa untuk kamu memberikan tumpuan kepada Al-Quran. Wujudkan suasana supaya Al-Quran akan berada dalam kehidupan kamu. Abdikan diri kamu kepada Al-Quran pada bulan Ramadan. Bermulalah dari sekarang pada bulan Rejab dan Sya’ban dan pertingkatkan usaha pada bulan Ramadan. Al-Quran meningkatkan darjat seseorang dan merupakan penyelamat dunia dan akhirat…. Semoga ia bermula pada bulan Ramadan.

Para ulama ada mengatakan bahawa salah satu sebab untuk mempelajari dan menghafal Al-Quran ialah untuk berdiri pada malam hari sambil membaca Al-Quran dalam ibadah Qiamullail. Terdapat banyak ayat dalam Al-Quran tentang mukmin yang bangun malam untuk membaca Al-Quran. Jika hanya juz Amma dan juz Tabaarak yang kita hafal, itu tidak mencukupi. Kita harus berdiri lebih lama dalam Qiamullail untuk membaca apa-apa yang telah dihafal. Ini memberikan kita “azeemah” iaitu keazaman untuk terus berusaha meningkatkan diri. Setiap tahun dalam bulan Ramadan, kita patut pertingkatkan diri kita dan tahap pengajian Al-Quran untuk terus mencapai sesuatu yang lebih baik, ameen.

Adakah terdapat jadual A-Quran yang dicadangkan khusus untuk bulan Ramadan? Sebenarnya sepanjang hari patut diisi dengan Al-Quran melainkan waktu solat, waktu ke dapur yang sesingkat mungkin, waktu terawih dll. Jadualkan setiap saat untuk Al-Quran, kemudian selitkan perkara lain mengikut jadual tersebut.

Imam Sufyan Al-Tsaury meninggalkan segala perkara lain pada bulan Ramadan demi Al-Quran. Imam Malik pula berhenti membaca hadith atau menghadiri halaqah pada bulan Ramadan untuk memberi tumpuan kepada Al-Quran. Qataadah (seorang tabie') pula khatam Al-Quran setiap minggu pada hari-hari biasa (di luar bulan Ramadam). Beliau mempunyai pekerjaan, mempunyai keluarga, beliau mengajar, beliau amat sibuk namum beliau tetap meluangkan masa untuk Al-Quran kerana para cendekiawan ini menganggap Al-Quran sebagai keperluan dalam kehidupan. Pada bulan Ramadan, Qatadah khatam seluruh Al-Quran setiap 3 hari dan pada 10 hari terakhir dalam bulan Ramadan, beliau khatam seluruh Al-Quran setiap malam!

Terdapat hadith yang mengatakan Al-Quran tidak dapat dikhatamkan dalam masa kurang dari 3 hari. Namun para ulama bersetuju bahawa bulan Ramadan merupakan suatu pengecualian kepada hadith ini kerana mereka menganjurkan khatam Al-Quran sebanyak kali mungkin pada bulan Ramadan. Para ulama ini hidup dengan Al-Quran, mengetahui tafsirnya, namun pada bulan Ramadan mereka pertingkatkan usaha tersebut.

**Setiap sesuatu ada masa yang khusus untuknya dan RAMADAN ialah masa yang khusus untuk AL-QURAN.

Ramai yang membaca Al-Quran tetapi tidak mengerti maksudnya, namun dapat khatam Al-Quran lebih dari sekali pada bulan Ramadan. Keadaannya tentu amat berbeza jika kamu faham maknanya. Kamu akan dapat rasai perbezaannya apabila kamu membaca Al-Quran berserta menghayati pengertiannya pada bulan Ramadan.

BAGAIMANAKAH CARANYA UNTUK KITA MEMPEROLEH MANFAAT SEBANYAK MUNGKIN DARIPADA AL QURAN?

i) Berwudhu’lah: Ketepikan dulu soal fiqh. Pastikan diri kamu berwudhu’ kerana Al Quran ialah syiar Allah, iaitu kalam Allah bagaikan Allah berkata-kata dengan kamu. Bertaqwalah (ada perasaan takut kepada Allah)!

ii) Duduklah selayaknya secara keadaan rendah diri atau rendah hati (tidak angkuh), walaupun tidak mengapa untuk kamu berbaring atau bersandar. Bayangkanlah seolah-olah kamu sedang memperdengarkan bacaan Al Quran di hadapan Allah. Bagaimanalah agaknya kalau begitu??

iii) Ingatkanlah diri sendiri sebelum memulakan bacaan tentang kata-kata siapakah yang akan kamu perdengarkan bacaannya? Sedarilah ia merupakan kata-kata daripada Allah yang telah memberikan segala-galanya. Ingatlah nama-nama Allah dan syukurilah rahmatnya. Seterusnya, bolehlah dibaca doa yang berikut: “Ya Allah, izinkanlah aku menikmati keindahan Al-Quran, izinkanlah aku menikmati kemanisan Al-Quran dan perbolehkanlah aku memahami Al-Quran sebagaimana para Sahabat memahaminya….”

iv) Bersujudlah ketika terbaca ayat-ayat As Sajdah.

v) Pada bulan Ramadan, kamu dibolehkan mengaji Al-Quran dengan cepat untuk menghabiskan lebih banyak bacaan. Akan tetapi adalah lebih baik atau afdhal Al-Quran diperdengarkan bacaannya secara perlahan dan juga merdu, disertai tajwid dan tartil.

Bayangkan seolah-olah Allah sedang bercakap dengan kamu dengan kata-kata yang berikut: “Ya si Fulan binti si Fulan, dengarlah Aku…. Aku mengenali mu, Aku menciptakan kamu, terimalah apa yang Aku perkatakan kepada mu…” Maka dengan itu, kamu akan mendengar dan membaca dengan perhatian yang lebih khusus. Anak-anak para ulama pada masa dahulu, sekiranya membaca sesuatu ayat Quran tanpa tumpuan, sering menganggap mereka belum membaca ayat tersebut. Mereka pasti akan mengulangi bacaan tersebut.

vi) Jalanilah kehidupan mengikut Al Quran dan berinteraksilah dengan Al Quran. Apabila kamu bertemu dengan ayat tentang Syurga Jannah, berhentilah seketika dan bayangkan Syurga Jannah serta berdoalah agar dikurniakan Syurga Jannah.

Apabila kamu membaca tentang Neraka, berhentilah seketika dan pohonlah dilindungi darinya. Apabila kamu membaca tentang golongan Muttaqoon (orang yang bertaqwa), berhentilah seketika dan berdoalah agar dimasukkan ke dalam golongan tersebut. Apabila kamu membaca tentang kebesaran Allah, berhenti dan bertakbir! Apabila kamu membaca tentang para Nabi, berdoalah agar dapat bersama-sama mereka kelak. Ambillah iktibar daripada apa yang kamu baca dalam Al-Quran.

vii) Kamu boleh juga sediakan sebuah buku catatan sambil membaca Al-Quran. Buatlah catatan tentang ayat-ayat yang kamu gemari, untuk digunakan sebagai peringatan. Kemudiannya kamu boleh menyemak tafsirnya atau menggunakan ayat tersebut sebagai rujukan pada masa hadapan.

viii) Sekiranya kamu dapat membaca Al-Quran dengan lancar serta dapat memahami Al-Quran sedikit sedikit, bolehlah kamu khatam Al-Quran sebanyak mana yang disukai. Namun, cubalah pula sesuatu kelainan! Bacalah ayat Al-Quran dalam bahasa Arab, kemudian bacalah terjemahannya dalam bahasa ibunda kamu.

Jika kamu meluangkan lebih banyak masa untuk Al-Quran setiap hari pada bulan Ramadan, insya Allah kamu akan dapat selesaikan banyak bacaan pada bulan Ramadan, iaitu kamu mungkin selesai membaca seluruh Al-Quran dalam bahasa Arab serta memahami maksudnya sekali. Kamu perlu ada perasaan teringin sangat mencapai keadaan tersebut dan merebut peluang ini di bulan Ramadan.

Bersabarlah menghadapinya dan kejarlah peluang ini. Kiranya kamu dirahmati dengan masa yang lebih, bacalah tafsir Al-Quran. Ibn Kathir menetapkan sasaran untuk membaca tafsir Al-Quran sebanyak 1 juz sehari. Kiranya kamu amat teringinkan demikian, berdoalah dan Allah akan memakbulkannya. Jika kamu tidak dapat membaca Al-Quran dengan lancar, gunakan pita rakaman untuk membantu kamu membaca ayat demi ayat. Setelah selesai 1 juz, bacalah terjemahannya untuk mengetahui maksudnya.

Jika kamu tidak pandai langsung membaca Al-Quran, merayulah kepada Allah supaya kamu tidak berada dalam keadaan yang sama pada Ramadan yang akan datang.

Kamu perlu mendengar bacaan Al-Quran pada pita rakaman atau cakra padat (CD) atau apa saja, kemudian bacalah terjemahannya. Mereka yang begini tentunya mempunyai masa yang lebih kerana bukan mereka sendiri yang memperdengarkan bacaan Al-Quran. Oleh itu, sebaiknyalah mereka membaca tafsir Al-Quran.

IBADAH QIAMULLAIL/TERAWIH/TAHAJJUD (SOLAT MALAM)

Hidupkan ibadah qiamullail dengan menetapkan tujuan dan matlamat tertentu, iaitu sebagai satu saluran untuk menghapuskan dosa-dosa kamu. Kamu mungkin kecewa atau resah dengan dosa-dosa kamu. Maka bulan Ramadanlah masanya untuk kamu peroleh jalan keluar. Rasulullah ﷺ menunjukkan cara penyelesaiannya melalui ibadah qiamullail. Menurut sebuah Hadith: “Sesiapa yang bersolat malam pada bulan Ramadan, dengan penuh keyakinan serta mengharapkan ganjaran untuknya, maka dosa-dosanya yang lalu akan diampunkan.”( Hadith Riwayat Bukhari & Muslim.)

Menerusi ibadah solat malam, kamu dianggap mengikut jejak langkah golongan para Salihin seperti Rasulullah ﷺ, para Sahabat baginda, para Salaf dsbnya. Golongan ini sering menjalankan ibadah qiamullail yang sememangnya terangkum dalam budaya tingkah laku serta adab tatasusila mereka. Rasulullah ﷺ pernah bersabda: “Berpegang teguhlah kepada ibadah qiamullail kerana sesungguhnya perbuatan tersebut merupakan budaya tingkah laku golongan salih. Ibadah tersebut dapat menebus dosa-dosa kamu dan dapat menghampirkan lagi kamu kepada Allah. Rasulullah ﷺ turut menjelaskan bahawa seseorang mukmin tidak dikira sebagai orang yang mulia dan bermaruah melainkan jika mereka tergolong dalam kumpulan qiamullail. Menurut sebuah hadith lagi, Rasulullah ﷺ pernah bersabda, bahawa: “Ibadah qiamullail turut menyingkirkan penyakit daripada badan.” (HR At Tirmizi, hadith sahih oleh Albani.)
Ibadah qiamullail merupakan cara untuk memperoleh kasih Allah. Menurut suatu hadith, mereka yang menjalani ibadah qiamullail ialah golongan yang dikasihi oleh Allah serta amat disenangi oleh Allah. Allah turut tersenyum kepada mereka menandakan Allah menyukai tingkah laku mereka. Bagi seseorang lelaki yang mempunyai isteri yang cantik serta tempat tidur yang empuk, namun tetap bangkit untuk bersolat malam, Allah akan berkata: “Lihatlah wahai malaikatku, lelaki ini mempunyai tempat tidur yang empuk, isteri yang cantik, namun dia sanggup meninggalkannya.” Lelaki ini terus-terusan memuji Allah serta mengucapkan kata-kata indah tentang Allah. Dia turut merayu kepada Allah walaupun telah memaksakan diri untuk bangun malam. Allah memerhatikan semua tingkah laku ini dan meluahkan rasa bangga dengan tingkah laku hambaNya kepada para malaikat. Menurut sebuah hadith lagi, jika seseorang itu bangun untuk bersolat malam dan matanya terlelap sewaktu sujud, Allah akan berkata kepada para malaikatNya, “Saksikanlah para malaikatKu, inilah hambaKu, jiwanya bersamaKu dan badannya mengadapKu. Maka catatlah ibadah qiamullailnya sebagai ganjaran untuk dirinya dan kiralah tidurnya sebagai sedekah daripadaKu kepadanya.” Lihatlah betapa Maha Pemurahnya Allah!

Sekiranya Allah akan memanggil kamu dengan sesuatu nama, maka nama apakah yang kamu inginkan? MUQANTEER (iaitu seseorang yang sarat dengan amal salih) atau MUQALID atau GHAFIL? Rasulullah ﷺ. telah bersabda bahawa sesiapa yang solat malam dan membaca 10 potong ayat daripada Al Quran, maka dia akan ditulis sebagai GHAFIL iaitu insan yang tidak mengambil berat atau ambil peduli. Seseorang yang membaca 100 potong ayat pula akan ditulis sebagai QAANITEEN iaitu insan yang salih. Manakala sesiapa yang solat dengan membaca 1000 potong ayat, akan ditulis sebagai MUQANTEER iaitu insan yang sarat dengan amal salih. Pilihlah mana-mana nama yang kamu ingin Allah gunakan untuk menyeru diri kamu.

*Bagi kaum wanita, terpulanglah sama ada ingin memilih solat di masjid atau di rumah, mengikut mana-mana yang akan membawakan kekhusyukan yang lebih.

** Apabila kamu berhajat bersolat di masjid:

a) Bertolaklah awal ke masjid dan berusahalah untuk sampai ke masjid sebelum azan Isya’ dilaungkan. Selepas iftar atau berbuka puasa, tinggalkan dulu tugas membersihkan pinggan kotor. Selesaikan tugas itu setelah pulang dari masjid. Tidak mengapa berbuat demikian, hanya untuk bulan Ramadan.

b) Bacalah doa ketika dalam perjalanan ke masjid iaitu doa yang indah-indah memohon Allah memberikan Nur kepada kamu dan doa masuk masjid.

c) Jawablah azan serta berdoalah antara setiap seruan dalam azan dan juga sesudah azan berakhir hinggalah ke waktu iqamah.

d) Carilah tempat yang sunyi di mana kamu akan terasa paling khusyuk dan duduklah bersendirian, elak bergaul dengan orang lain atau bersembang kosong. Pergunakanlah setiap saat untuk berdoa kerana kamu sedang berada di dalam rumah Allah pada bulan Ramadan. Manfaatkan penggunaan masa sebaik mungkin.

e) Apabila imam memulakan solat, bayangkanlah kamu sedang berdiri di hadapan Allah pada hari Kiamat iaitu cuba berikan tumpuan semampu mungkin. Dengarlah, dan renungkanlah segala yang kamu bacakan dalam solat. Apabila kamu mengenali mana-mana juz yang dibaca oleh imam pada malam itu, ulangkajilah bacaan tersebut pada siang hari nanti. Bacalah maksudnya jika kamu tidak memahami bahasa Arab.

f) Sentiasalah berdoa, serta selang-selikan dengan istighfar. Setiap saat amat berharga.

g) Berdoalah ketika meninggalkan masjid.

Rasulullah ﷺ ada bersabda:-

“Terdapat satu jam dalam setiap malam yang pada ketika itu tiada seorang muslim pun yang berdoa, melainkan Allah akan memakbulkan doanya (iaitu saat ketika setiap doa orang mukmin pasti akan dimakbulkan oleh Allah).”

Peristiwa ini berlaku setiap malam. Seseorang hamba Allah paling dekat dengan Tuhannya ketika dalam keadaan sujud dan Allah akan turun ke langit terendah pada 1/3 terakhir waktu malam untuk memakbulkan doa hambaNya. Namun demikian, sesetengah orang terus tidur selepas solat terawih hinggalah waktu fajar. Mereka tidak bangun untuk berjaga malam untuk menjalankan ibadah pada bulan Ramadan. Bangunlah pada waktu malam terutamanya pada 1/3 yang terakhir. Ramadan ialah masanya untuk melipatgandakan ibadah. Apabila kamu solat malam atau berqiamullail, pilihlah nama apa yang kamu mahu diseru oleh Allah iaitu Muqanteer ke? Muqalid ke? Atau Ghafil?

Cubalah berqiamullail secara bersendirian. Kerana inilah masanya kamu ‘berkhalwah’ atau bersendirian dengan Allah, iaitu saat rahsia kamu dengan Allah jauh daripada perasaan riya’ dan ujub sambil menikmati keindahan saat-saat bersama dengan Allah.

Tenangkan hati kamu dengan ucapan zikir, berdoalah sebanyak-banyaknya, pohonlah daripada Allah agar dikurniakan khusyu’ dalam solat. Seolah-olah kamu lari bebas dari dunia. Mohonlah agar Allah memberi kamu perlindungan serta menjadi tempat untuk mengubat hati kamu.

Menangislah semahunya di hadapan Allah, berdoalah secara tetap dan berterusan dan curahkan segala isi hati kepada Allah. “Semoga Allah tanamkan di hati kita kemanisan melepaskan sebak di hati kepada Nya dan kita tidak rasa perlu mengadu hal kepada manusia lain.” Kenapa kamu ingin mengadu hal kepada manusia? Adakah untuk meraih simpati? Insafilah bahawa Allah lah yang memberikan kamu segala-galanya.

Dengan demikian, pada bulan Ramadan, kita bagaikan burung hantu. Kita cergas segar dan berjaga malam di bulan Ramadan. Golongan para Salihin terus beristighfar selepas selesai solat malam. Tiupkanlah roh ke dalam istighfar kamu, hidupkan istighfar kamu. Cuba bayangkan seorang anak kecil yang merayu-rayu minta ampun daripada kamu. Dengan itu, merayulah sebanyak mungkin semoga Allah mengampunkan kamu agar kamu keluar dari bulan Ramadan dalam keadaan bersih daripada segala dosa.

Mulakan membuat persediaan untuk menyambut Ramadan dari sekarang. Panjatkanlah doa kepada Allah semoga Allah membantu kamu memperoleh manfaat sebanyak mungkin pada Ramadan ini, juga agar dipermudahkan kamu bangun malam, khatam Al-Quran dll. Allah tidak akan memandang mereka yang membuat persediaan untuk Ramadan sama kedudukannya dengan mereka yang tidak membuat persediaan untuknya (Iaitu Allah akan lebih memuliakan mereka yang membuat persedian untuk menyambut Ramadan berbanding mereka yang tidak membuat sebarang persediaan).

No comments:

Post a Comment