There was an error in this gadget

Friday, March 11, 2011

Saman Ekor: Fahami Isu Sebenar

oleh: Zulhazmi Shariff

Saya ingin merujuk kepada siaran akhbar Berita Harian bertarikh 11/3/2011 yang memetik ulasan seorang Pakar Perlembagaan Profesor Dr Rohimi Shapiee. Saya amat dukacita dengan perkembangan dan ulasan tersebut yang melabelkan pihak-pihak yang tidak menggalakkan rakyat membayar saman sebagai sebagai nakal dan menggalakkan pemandu supaya terus melanggar undang-undang.

Saya ingin tegaskan pendirian kami di Jawatankuasa Kempen Anti saman Ekor (KASE) bahawa kami tidak sekali-kali bersetuju dan menggalakkan pemandu-pemandu kenderaan memandu tidak mengikut peraturan. Setiap pemandu mestilah memandu dengan berhemah kerana jalanraya bukan harta persendirian tetapi hak bersama. Kami juga tidak bersetuju dengan penguatkuasaan yang tidak mengikut peraturan sedia ada. Atas hujah dan pendirian ini, kami melancarkan Kempen Anti Saman Ekor (KASE) iaitu bertujuan memberikan penerangan tentang hak rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan, prinsip keadilan dan pematuhan peraturan serta prosedur tindakan undang-undang.

Tidak pernah pada bila-bila masa dan ketika, Kami menyatakan bahawa Saman Ekor yang dikeluarkan oleh PDRM adalah bertentangan dengan Perlembagaan dan Akta. Jika ada, saya merasakan kenyataan dan pendirian kami telah disalah tafsir. Saya ingin memperbetulkan pemahaman dan persepsi sesiapa sahaja termasuk Pakar Perlembagaan tersebut supaya sebelum membuat sebarang ulasan atau komen, FAHAMI dahulu apa isu yang dibawa dan ditimbulkan.

Saya ingin menegaskan bahawa Saman Ekor yang dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi hanya sekadar notis meminta maklumat pemandu daripada pemilik kenderaan yang dikeluarkan mengikut Seksyen 115 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Notis ini disebut sebagai Pol 170A. Fakta ini tidak pernah disangkal malah diakui oleh Kementerian Dalam Negeri, PDRM malah Timbalan Menteri Pengangkutan di dalam Dewan Rakyat. Saya mohon kerjasama pihak-pihak yang ingin membuat ulasan supaya lebih rajin membaca daripada membuat ulasan dan komen berasaskan lojik akal fikiran. Pernahkah pihak-pihak yang membuat ulasan ini meneliti setiap patah perkataan yang terkandung di dalam notis Pol 170A tersebut sebelum membuat komen? Baca dan fahami kandungannya dahulu kemudian nyatakan komen dan ulasan.

Mengikut Seksyen 115 (1) APJ 1987 setiap pemilik kenderaan apabila diberikan notis Pol 170A ini hendaklah memberikan maklumat pemandu yang disyaki telah melakukan kesalahan yang dinyatakan di dalam notis tersebut dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh notis diterima. Kegagalan memberikan maklumat boleh dianggap melakukan kesalahan melainkan pemilik memuaskan hati mahkamah bahawa beliau tidak tahu siapa yang memandu. Maksud memuaskan hati mahkamah tersebut ialah seseorang pemilik jika ingkar menjawab notis tersebut maka pihak berkuasa iaitu PDRM yang mengeluarkan notis ini hendaklah mengeluarkan suatu notis (Saman) di bawah Seksyen 53(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Persoalannya adakah semua prosedur ini diikuti oleh pihak berkuasa iaitu PDRM yang mengeluarkan notis ini?

Bersama Notis Pol 170A ini juga dikepilkan Notis Pol 171 iaitu menawarkan kompaun kepada pemilik kenderaan jika pemilik mengakui kesalahan dan ingin menerima tawaran kompaun, pemilik boleh menjelaskannya. Perlu diambil perhatian bahawa tawaran kompaun ini diberikan melalui Seksyen 120 (1) APJ 1987. Kompaun ini hanyalah semata-mata tawaran. Bukan suatu bentuk hukuman atau denda. Kompaun ini juga mempunyai tempoh sah laku kerana di dalam Notis Pol 171 di perenggan 4 dinyatakan begini “Tawaran ini berkuatkuasa sehingga (tarikh). Sekiranya tiada jawapan selepas tarikh ini, tindakan saman akan diambil”. Ini dengan jelas menunjukkan bahawa kompaun tersebut hanyalah suatu tawaran, dan jika pemilik atau yang disyaki melakukan kesalahan tidak menerima tawaran kompaun tersebut dan enggan membayar, maka mereka hendaklah disaman supaya hadir di Mahkamah menjawap pertuduhan ke atas mereka. Saman ini dikeluarkan mengikut Seksyen 53(1) APJ 1987 yang disebut sebelum ini.

Persoalannya, adakah prosedur ini juga diikuti oleh pihak berkuasa?

Perkembangan yang berlaku sekarang ialah pihak berkuasa iaitu Kementerian dalam Negeri melalui PDRM telah menghukum orang yang disyaki melakukan kesalahan lalu lintas sedangkan mereka tidak pernah dibuktikan melakukan kesalahan. Mereka dihukum dengan alasan tidak membayar kompaun sedangkan kompaun hanyalah tawaran. PDRM pula mengambil kesempatan di atas kurangnya pemahaman rakyat tentang undang-undang dan peraturan telah menghukum dengan meminta JPJ menyenarai hitam kenderaan bertujuan memaksa mereka membayar kompaun. INILAH TINDAKAN YANG BERTENTANGAN DENGAN PERLEMBAGAAN!

Kenapa ia bertentangan dengan Perlembagaan?

a) Kesalahan yang dikatakan telah dilakukan tersebut belum dibuktikan.
Rujuk kembali kepada ulasan asal di atas. Jika Pemilik kenderaan ingkar notis, sepatutnya mereka dihadapkan ke Mahkamah untuk dibuktikan mereka ingkar notis tersebut. Pelbagai persoalan akan timbul di sini. Adakah notis tersebut telah dikeluarkan? Adakah notis tersebut telah diserahkan dengan sempurna?

Notis boleh diserahkan kepada pemilik kenderaan mengikut Seksyen 118 APJ 1987 iaitu dengan pos berdaftar. Jadi pihak berkuasa perlu membuktikan terlebih dahulu notis itu telah dikeluarkan. Kemudian buktikan notis itu telah diserahkan iaitu dengan bukti pengeposan daripada pejabat pos berkaitan. Jika ada bukti tersebut barulah pemilik perlu buktikan kenapa beliau ingkar. Jika beliau telah memuaskan hati mahkamah dengan alasan-alasannya maka kemungkinan akan dilepaskan. Jika tidak dapat memuaskan hati Mahkamah, kemungkinan akan dijatuhkan hukuman kerana ingkar notis. Belum lagi soal memandu melebihi hadlaju. Adakah ini dilakukan dalam situasi sekarang ini? Jawapannya tidak kerana Timbalan Menteri Pengangkutan sendiri mengakui di Dewan Rakyat pada 8/3/2011 bahawa jika seseorang ingkar Notis Pol 170A ini maka mereka secara automatik dianggap melakukan kesalahan. Ini suatu anggapan yang salah di sisi undang-undang.

Jika pemilik atau pemandu disyaki memandu melebihi hadlaju, mereka sepatutnya disaman hadir ke Mahkamah untuk dibuktikan mereka telah melakukan kesalahan tersebut. Adakah ini dilakukan? Tidak! Mereka terus disenarai hitam kerana tidak membayar kompaun. Sepatutnya PDRM membawa mereka ini ke Mahkamah, buktikan mereka memandu melebihi hadlaju. PDRM sentiasa mengatakan mereka mempunyai bukti, jadi buktikan di Mahkamah. Bukan dengan bekerjasama dengan JPJ untuk menyenarai hitam supaya pemilik kenderaan membayar kompaun. Ini salah! Kenapa PDRM tidak membawa mereka ini ke Mahkamah untuk dibuktikan kesalahan? Mungkin PDRM tahu bahawa mereka tidak dapat membuktikan kesalahan tersebut.

Perlu diambil perhatian bahawa APJ 1987 tidak memperuntukkan sebarang penggunaan imej yang dirakam untuk diterima pakai sebagai bukti di Mahkamah. Setelah APJ 1987 dipinda pada 22/12/2010 dan mula berkuatkuasa pada 1/2/2011 barulah imej yang dirakam diterima sebagai bukti di Mahkamah. Ini disebut di dalam seksyen 117 (11) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2010 seperti berikut : Dalam mana-mana prosiding di mana-mana mahkamah, apa-apa imej yang dirakamkan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan bagi apa-apa kesalahan di bawah Akta ini hendaklah diterima sebagai keterangan, dan hendaklah menjadi bukti prima facie bagi fakta yang dinyatakan di dalamnya.

Akan ada pula pihak yang akan mengatakan bahawa gambar boleh diterima sebagai keterangan di Mahkamah mengikut peruntukkan Akta Keterangan 1950. Betul, tetapi gambar bagaimana, bagaimana gambar diambil. Jika boleh digunakan peruntukkan Akta Keterangan 1950, kenapa kerajaan bersusah payah meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk memasukkan penggunaan gambar (imej) sebagai bukti yang boleh diterima?

Apa yang menyedihkan lagi, sudahlah gambar tidak boleh diterima sebagai bukti, para pemandu dan pemilik telah dikenakan bayaran RM10 untuk melihat dan mendapatkan salinan gambar tersebut oleh PDRM. Sudah lah tidak dibuktikan lagi mereka bersalah, mereka dikenakan bayaran untuk membuktikan mereka tidak bersalah. Sistem keadilan apa yang kita guna???

b) Seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah.
Ada dua (2) isu di sini :

a) Pembuktian bersalah; dan
b) Siapa yang boleh menghukum seseorang itu bersalah.

Pembuktian salah.
Seperti yang diulas sebelum ini, adakah semua yang dituduh dan dikeluarkan Saman Ekor ini telah dibuktikan melakukan kesalahan oleh PDRM dan JPJ? Di Mahkamah mana mereka ini dibuktikan bersalah? Jika tidak pernah dibuktikan bersalah, kenapa menghukum?

Siapa yang boleh menghukum seseorang itu bersalah?
Kuasa untuk menghukum ini adalah kuasa Mahkamah. Inilah tujuannya diwujudkan tiga (3) cabang dalam kerajaan iaitu Eksekutif, Perundangan dan Kehakiman. Polis tiada kuasa menghukum. JPJ tiada kuasa menghukum malah kerajaan tiada kuasa menghukum. Hanya Mahkamah sahaja mempunyai kuasa ini. Justeru tindakan menyenarai hitam pemilik kenderaan ini adalah suatu hukuman. Siapa yang menyenarai hitam? Bukan Mahkamah tetapi JPJ. Adakah JPJ telah mendapat perintah Mahkamah untuk menyenarai hitam pemilik kenderaan?

JPJ akan menyatakan mereka mempunyai kuasa di bawah Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 untuk menghalang transaksi. Bagaimana kuasa tersebut perlu dibuat? Peruntukkannya menyebut bahawa Pengarah JPJ hendaklah berpuashati bahawa seseorang itu tidak mempunyai “perkara yang belum selesai”. Bagaimana JPJ hendak berpuashati? Mestilah membuat suatu siasatan seperti memberikan peluang membuat representasi kepada pemilik. Ini disebut di dalam Seksyen 17(2) APJ 1987. Adakah ini dibuat? Tanyalah JPJ.

Senario sekarang ini adalah hukum dahulu buktikan kesalahan kemudian. Ini jelas bertentangan dengan prinsip keadilan.

c) Menyenarai hitam bermaksud menghalang rakyat menggunakan harta.
Perkara ini diulas dengan terperinci di dalam kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak & Anor [2009] 6 CLJ 280.Yang Arif Hakim Mahkamah Tinggi Kuching tersebut telah memutuskan bahawa “perkara yang belum selesai” yang dimaksudkan di dalam Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 ialah perkara yang telah dibawa ke mahkamah di mana yang dituduh tidak membela diri.

Mahkamah juga memutuskan bahawa tindakan JPJ Negeri Sarawak menyenarai hitam di bawah Seksyen 17(1)(d) APJ 1987 di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan adalah salah dan bertentangan dengan undang-undang. Malah tindakan tersebut juga dianggap bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak setiap rakyat menggunakan harta mereka.

Akhirnya Mahkamah Tinggi telah membenarkan tuntutan gantirugi terhadap JPJ kerana telah menyebabkan kerugian kepada pemohon di dalam kes itu akibat kehilangan penggunaan harta beliau iaitu kereta yang disenarai hitam.

Justeru saya ingin mengambil peluang ini untuk memperbetulkan persepsi dan pemahaman sesetengah pihak supaya apa yang diperjuangkan dan dibahaskan ini adalah isu penyalahgunaan proses keadilan. FAHAMI ISU SEBENAR! ANDA MAMPU MENGUBAHNYA!


ZULHAZMI SHARIFF
Penasihat Undang-Undang
Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (KASE)
11/3/2011

Friday, March 4, 2011

Resah Seorang AYAH

oleh: Ustaz Pahrol Mohamad Juoi


Ingin kubisikkan resah seorang ayah. Resah kita bersama. Resah warisan lama. Berkesinambungan sejak zaman silam. Imbauan kisah Yaa’qub dan Yusuf Alahaihisalam. Harapan suci seorang ayah memang selalu teruji. Bayangkan bertapa terkejutnya Yaa’qub menerima khabar kematian Yusuf. Namun, jauh di dalam hatinya tidak pernah gementar. Dia yakin Yusuf tetap dipelihara Allah walaupun di tangannya baju berdarah.

Ah, siapakah tidak tergugah bila berpisah? Dan menangislah Yaa’qub menanggung resah seorang ayah. Matanya menjadi buta… tetapi hatinya terus bercahaya. “Yusufku, Yusufku… demi Ilahi dia pasti kembali.” Lalu terjadilah tribulasi demi tribulasi. Tragedi demi tragedi. Terjual menjadi hamba, terfitnah oleh wanita, terasing dipenjara…

Akhirnya Yusuf ternama. Mimpinya mencatur ekonomi. Siasahnya menyelamatkan negara. Akhirnya Yusuf pulang ke Yaa’qub. Pertemuan kedua itu sudah termaktub.

Sudah beberapa dekad pula kita genggam anugerah itu. Kita cuba perkukuhkan amanah ini hari demi hari. Adakalanya kita tegak berdiri dengan ampuh. Tetapi ada masanya kita terjatuh. Kita dilanggar dan dirempuh.

Taufan kehidupan ini tidak sudi simpati. Dengan sepercik iman, sekelumit keyakinan, kita harungi jua badai penderitaan. Sesungguhnya titipan Tuhan ini bukan khayalan. Kehadiran putera dan puteri kita adalah kenyataan. Walaupun perjalanan peristiwa kekadang sepantas igauan.

Ah, rasanya baru semalam, kita panggil anak. Tapi hari ini, sudah bergelar ayah. Dulu, kita dibelai dan dimanja. Namun kini kita adalah “retua” yang telah dipagut usia. Ah, sedar-sedar sudah putih rambut di kepala. Sudah berkedut garis di muka. Usia sudah diambang senja… mentari hidup kian redup. Sudah hampir ke episod penutup.

Walaupun sekali-sekali terasa gian berkejar-kejaran di tepian denai. Atau berenang-renang di sungai. Tapi siapakah mampu memutar jarum waktu. Yang berlalu, terus berlalu… terlalu laju. Yang tinggal hanya turisan kenangan, yang kekal sebagai ingatan. Ah, musim bermain hujan telah berlalu. Kini musim… bermandi ujian.

Masih kita ingat detik kelahiran mereka. Seorang demi seorang. Bersama isteri di sisi, kita nikmati tangisan pertamanya. Lalu kita azan di telinga kanan, iqamat di telinga kiri. Kita ukirkan kalimah tauhid di kanvas hatinya yang suci. Itulah bekal utama, jati dirinya yang pertama. Dan maktub sudah janji insan di sisi Tuhan. Anak, kau hamba Allah dan khalifah. Nya. Dan aku adalah ayahmu, pemegang amanah safarmu yang fana.

Lalu bermulalah kembara anak di alam dunia. Kembara ini terasa panjang bagi mereka yang alpa, lalu masa terbuang sia-sia. Kembara ini terasa begitu pendek bagi mereka yang cerdik, masa akan terisi dengan baik.

Kenalkan dahulu anak kepada Tuhan. Katakan Tuhan itu Ada, Esa, Agung dan Perkasa. Lihat awan dan bulan… itu semua Tuhan jadikan. Nun, di sana burung dan ikan… Tuhan yang memberinya makan. Kalau di satu ketika anak bertanya, “ayah kenapa jerebu begini?” Katakan, “Tuhan ingatkan kita supaya menghargai nikmat mentari.”

Walaupun masih di tahap fikrah terendah, anak mesti diajar mentauhidkan Allah. Kuasa hafalannya, terokailah. Kecepatan menirunya, eksploitasilah. Semuanya menuju satu. Segala terjurus lurus. Awaluddin Makrifatullah – awal agama mengenal Allah.

Lepaskanlah anak ke persada buana. Jangan dikurung, nanti mereka pemurung. Biar mereka hirup udara kebebasan dan kemerdekaan. Namun awasi langkah dan teliti tingkahnya. Bekalkan ilmu buat mereka menyuluh. Agar mereka tahu menilai pahala. Arif mengenal dosa. Selalulah berdamping dengannya. Dengarkan luahan katanya yang tersurat. Fahamilah isyarat dalamannya yang tersirat.

Kekadang mereka malu hendak menjelaskan, kitalah yang patut dahulu mentafsirkan. Adakalanya mereka bertanya dalam bercerita. Pandai-pandailah kita menjawabnya dalam selamba. Istiqamahkan didikan, berilah pimpinan. Sesungguhnya tugas ini sulit sekali, justeru kitapun selalu tersasar. Sering juga kita melakukan yang mungkar. Namun itu bukan alasan untuk menyerah kalah. Jadilah seorang ayah… yang selalu bermujahadah.

Ah, esok anak-anak kita pula akan menjadi ayah. Bagaimana ya? Aduuh… resah lagi. Semoga kita terus memiliki hati seresah Ya’aqub. Agar anak-anak menjadi setabah Yusuf . Dan semuga kisah itu akan tetap agung, terus bersambung… kisah resah seorang ayah. Pesan kepada anak kita… sayangilah keluarga kerana di sana ada sumur cinta yang setia sampai bila-bila!

(sumber: http://genta-rasa.com)

Tuesday, March 1, 2011

Saman Ekor: Ketahui HAK anda

oleh: Zulhazmi Shariff

Ramai yang masih kabur dan tidak faham hak mereka sebagai rakyat Malaysia. Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi Negara. Perlembagaan Persekutuan menjamin hak setiap rakyat Malaysia tanpa mengira agam, kaum, bangsa dan juga fahaman politik. Semua warganegara dijamin hak yang sama.

Salah satu hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan ialah hak rakyat terhadap harta. Ini disebut dalam Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan

Hak terhadap harta.

(a) Tiada seseorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang.

(b) Tiada sesuatu undang-undang pun boleh membuat peruntukan bagi mengambil atau menggunakan harta-harta dengan paksa dengan tiada pampasan yang mencukupi.

Selalunya Perkara 13 ini digunakan di dalam kes pengambilan tanah melalui Akta Pengambilan Tanah 1960. Sebenarnya Perkara 13 ini bukan sahaja melibatkan harta tak alih seperti tanah, tetapi meliputi harta alih seperti kenderaan. Justeru penafian hak memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) juga sebenarnya termasuk di dalam penafian hak rakyat terhadap harta. Alasannya jika seseorang rakyat itu dihalang dari memperbaharui cukai jalan kenderaan mereka yang menyebabkan kenderaan itu tidak boleh digunakan maka rakyat itu telah dinafikan haknya terhadap harta.

Jika seseorang rakyat telah dinafikan hak mereka menggunakan harta (kenderaan) mereka tanpa alasan yang berlandaskan peraturan dan undang-undang maka Perkara 13 (b) menyatakan bahawa pampasan hendaklah diberikan. Ini bermaksud jika JPJ menghalang seseorang memperbaharui cukai jalan yang menyebabkan kenderaan tidak boleh digunakan, maka JPJ hendaklah membayar pampasan kepada pemilik kenderaan tersebut.

Hujah ini adalah bersandarkan keputusan kes Leonard Lim Yaw Chiang lwn Director of Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak yang telah diputuskan pada tahun 2009. Di dalam kes ini, seorang rakyat bernama Leonard Lim Yaw Chiang telah disenarai hitam dan dihalang oleh JPJ Sarawak dari memperbaharui cukai jalan kereta beliau. Beliau telah memohon kepada Mahkamah Tinggi Kuching untuk memutuskan bahawa tindakan JPJ menyenarai hitam dan menghalang beliau memperbaharui cukai jalan adalah salah. Beliau juga memohon gantirugi daripada JPJ di atas kehilangan penggunaan kereta beliau selama kereta tersebut tidak boleh digunakan kerana tiada cukai jalan.

Mahkamah telah memutuskan bahawa JPJ tidak boleh menyenarai hitam kenderaan di atas suatu kesalahan yang belum dibuktikan di Mahkamah. Tindakan JPJ menyenarai hitam diputuskan telah bertentangan dengan Perkara 13 Perlembagaan. JPJ juga telah diarahkan membayar gantirugi kepada pemohon dalam kes itu kerana kesusahan beliau tidak dapat menggunakan kenderaan sehingga terpaksa menyewa kenderaan lain.

Justeru di sini ingin dimaklumkan kepada pemandu-pemandu dan pemilik-pemilik kenderaan yang dinafikan hak mereka memperbaharui cukai jalan dan lesen memandu, bahawa hak anda dilindungi oleh Perlembagaan. Pihak berkuasa tidak boleh sewenang-wenang menafikan hak anda.

Berbalik kepada tawaran Kerajaan memberikan diskaun pembayaran saman sehingga hari ini 28/2/2011. Ingin dimaklumkan bahawa tindakan ini tetap salah. Isu utamanya ialah bukan jumlah bayaran kompaun atau denda itu RM300 atau RM150 atau pun RM50. Isu utamanya adalah, ADAKAH SESEORANG ITU BENAR-BENAR MELAKUKAN KESALAHAN YANG DIDAKWA SEHINGGA MEREKA WAJIB MEMBAYAR DENDA?

Perlu diambil perhatian bahawa untuk menguatkuasakan sesuatu peraturan dan undang-undang, sesebuah pihak berkuasa hendaklah juga mengikut peraturan dan undang-undang. Saman tidak boleh tertunggak. Jika ada yang tertunggak maka ianya bukan saman. Saman hendaklah dikemukakan di Mahkamah. Orang yang disaman (OKS) hendaklah diserahkan saman dan diperintahkan hadir ke Mahkamah untuk menjawap saman itu. Jika OKS mengaku salah maka mahkamah akan memerintahkan OKS itu membayar denda. Jika denda dibayar maka saman itu selesai dan tidak akan tertunggak. Jika saman diserahkan kepada OKS tetapi OKS tidak hadir ke Mahkamah, maka mahkamah akan keluarkan waran tangkap suapaya OKS hadir mahkamah. Maka proses yang sama akan berlaku iaitu OKS akan ditanya mangakui kesalahan atau meminta bicara. Jika mengaku maka akan diarahkan supaya bayar denda bagi saman itu. Maka selesailah saman itu. Tidak tertunggak. Jika tidak mengaku maka akan dibicarakan. Bergantung kepada keputusan mahkamah, jika didapati salah selepas bicara, maka akan diperintahkan untuk bayar denda. Selesai lah saman itu. Jika tidak bersalah maka luput juga samann itu. Tidak tertunggak.

Soalannya kenapa ada saman tertunggak? Jawapannya pertama kerana saman-saman itu tidak pernah dibawa ke Mahkamah. Kedua kerana yang dikatakan saman itu sebenarnya bukan saman tetapi notis sahaja.

Saman Ekor yang dikatakan saman ini sebenarnya bukan saman tetapi sekadar notis kepada pemilik kenderaan meminta maklumat pemandu yang dikatakan memandu melebihi hadlaju. Notis ini juga disertakan tawaran kompaun jika pemilik kenderaan mengaku melakukan kesalahan. Ia dikeluarkan di bawah Seksyen 115 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atau dikenalai dengan Notis Pol 170A. Jika pemilik tidak mengaku kesalahan maka kompaun tidak perlu dibayar kerana kompaun itu hanyalah tawaran. Jika pemilik tidak membayar kompaun sepatutnya pemilik disaman supaya hadir ke Mahkamah bagi menjawap tuduhan memandu melebihi hadlaju. Kemudian proses mahkamah yang dijelaskan sebelum ini akan berlaku. Maka saman itu akan selesai dan tidak tertunggak. Masalah timbul apabila pihak berkuasa terus menghukum pemilik supaya membayar kompaun sedangkan kesalahan tidak dibuktikan. Kompaun bukan denda tetapi tawaran. Dendan hanya boleh dikeluarkan dan diarahkan oleh Mahkamah. Bukan Polis dan bukan JPJ. Inilah penyalahgunaan kuasa dan peraturan oleh pihak berkuasa. Mereka bertindak melebihi kuasa yang diberikan. Mereka bertindak sebagai penghukum sedangkan tugas itu hanya ada pada Mahkamah.

Justeru kepada semua rakyat Malaysia, ketahui hak anda, jangan mudah terpedaya dengan tawaran dan penindasan. Gunakan hak anda... TIADA SIAPA BOLEH MEMAKSA ANDA MEMBAYAR SESUATU YANG ANDA TIDAK LAKUKAN. Anda Mampu Mengubahnya.

Bagaimana JPJ boleh menhalang pembaharuan cukai jalan?

1) Seksyen 17(1)(d) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010

JPJ berkuasa menghalang seseorang melakukan apa-apa transaksi termasuk perbaharui cukai jalan tetapi setelah JPJ BERPUASHATI bahawa seseorang ada perkara yang belum selesai dengan JPJ dan Polis.

Bagaimana JPJ hendak BERPUASHATI?

2) Seksyen 17(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010

JPJ hendaklah memberikan peluang kepada seseorang membuat representasi. Ini bermaksud JPJ hendaklah menjalankan siasatan adakah seseorang itu ada perkara yang belum selesai. Maka semua pihak perlu hadir iaitu pemilik kenderaan, JPJ dan Polis yang mengeluarkan saman. Perlu disiasat adakah saman yang dikatakan ada kepada seseorang itu betul atau tidak. Sudah dibuktikan di mahakamh atau tidak. Jika tidak maka JPJ tidak boleh menyenarai hitam. Inilah maksud BERPUASHATI

3) Seksyen 17(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2010

Jika dihalang daripada perbaharui cukai jalan maka Pengarah JPJ hendaklah maklumkan kepada Ketua Pengarah pengangkutan, di mana Ketua Pengarah hendaklah maklumkan secara bertulis dalam tempoh 14 hari kepada pemilik kenderaan tentang alasan halangan dibuat ke atas pemilik. Adakah notis ini pernah dikeluarkan kepada pemilik?

Jika anda dihalang daripada perbaharui cukai jalan tanpa alasan yang sah anda boleh:

a) Minta alasan bertulis daripada JPJ kenapa anda dihalang.

b) Minta JPJ perbaharui cukai jalan dengan segera jika alasan bertulis itu tidak munasabah dan tidak betul.

c) Jika JPJ enggan mematuhi permintaan anda, anda boleh menyaman/menuntut di Mahkamah untuk gantirugi kehilangan penggunaan kenderaan anda dan kesusahan anda kerana tidak boleh menggunakan kenderaan.

Zulhazmi Shariff ialah Penasihat Undang-Undang Kempen Anti Saman Ekor (KASE)