There was an error in this gadget

Friday, August 21, 2009

PERSEDIAAN UNTUK BULAN RAMADAN – Bahagian 1

oleh: Umm Irfan (Nor Farina Binti Ridzuan)Doha, Qatar, Rajab 1429

Sebahagian besar sumber bahan digunakan untuk kuliah ini diambil dari Shaikh Muhammad Hussain Yaqoob anak murid Shaikh Uthaimeen Rahimahullah.

Tanya diri kita kenapa kita harus membuat persediaan untuk bulan Ramadan?
Salah satu jawapannya ialah untuk memperolehi hasil yang sepenuhnya.

Bulan Ramadan ialah bulan dimana kita melakukan pengorbanan yang paling besar dan memperbanyakkan ibadah-ibadah seperti amalan membaca Al-Quran, melakukan ibadah Qiamullail dan sebagainya. Mengapakah kita mengerjakan ibadah-ibadah yang hebat seperti ini tetapi masih tidak ada perubahan pada diri kita? Ini disebabkan kita tidak cukup ilmu lantas tidak cukup persediaan untuk meraih keberkatan Ramadan. Kita gagal menikmati Ramadan kerana kita kurang maklumat dan penghayatan mengenainya. Kita seharusnya berpuasa di bulan Ramadan kerana ia adalah benar-benar bulan yang sepatutnya kita berpuasa. Sebelum melakukan persediaan itu, kita seharusnya mempunyai perasaan tersangat rindu untuk menyambut kedatangan Ramadan. Diriwayatkan bahawa 'ulama Salaf merindui bulan Ramadan enam bulan sebelum datangnya Ramadan. Gangguan-gangguan (distractions) seperti anak-anak, suami, isteri, kerja, masalah keluarga, boleh melemahkan dan menurunkan iman kita. Oleh itu bulan Ramadan adalah masa untuk kita menghidupkan kembali (recharge) keimanan kita!

Kita semua mengetahui di bulan Ramadan, para syaitan dibelenggu, pintu-pintu syurga dibuka luas dan pintu-pintu neraka ditutup rapat. Walaupun kita semua telah mengetahui semua ini, adakah kita renungi dan dalami hakikat ini? Daripada bermulanya bulan Ramadan berlakulah perubahan pada alam semesta. Tanya diri kita sendiri bagaimana jika Ramadan kali ini adalah bulan Ramadan yang terakhir buat kita?

Nota: Kita dapat apa yang kita hajati! Maksudnya di sini apa sahaja yang kita ingin lakukan, itulah yang kita akan perolehi. Kita mesti cuba untuk membuka 'matahati' kita, seperti kata Shaikh Hussain Yaqoob, “Matahati yang merindui Ramadan akan dapat menciumi bau bulan Ramadan seperti Yaaqob telah terbau baju anaknya Yusuf”.

Kita harus menyedari apakah maksud bulan Ramadan. Segelintir cerdik pandai mengatakan bulan Rajab ialah bulan dimana benih-benih mula ditanam. Sya’ban adalah bulan dimana benih-benih itu disirami air dan Ramadan ialah bulan dimana hasil-hasil buah-buahan dipetik.

Bulan Sya’ban adalah bulan yang kita harus berpuasa sebanyak mungkin, sebanyak yang kita mampu, membaca Al-Quran dan memperbanyakkan zikir-zikir. Jadikan ia bulan ibadah untuk menyambut kedatangan bulan Ramadhan.


APAKAH HIKMAH YANG DIPEROLEHI APABILA KITA MENINGKATKAN IBADAH SEBELUM RAMADAN?

Orang-orang soleh zaman dahulu pernah berkata: “Saya berjihad selama 20 tahun dengan qiamullail, kemudian bergembira dengan kenikmatan itu untuk selama 20 tahun seterusnya.”

Untuk merasai kenikmatan itu, kita perlu BANYAKKAN BERSABAR kerana ianya adalah kurniaan Allah.

Hari-hari di bulan Ramadan amatlah sedikit dan ia berlalu begitu cepat. Masanya amat pendek, oleh itu untuk mendapatkan kesannya ke atas kita, kita harus melakukan sebanyak-banyaknya amal ibadah atau melakukannya sepanjang masa dibulan Sya’ban untuk mempersiapkan diri kita dan juga mengerjakan solat mengikut sunnah.

Kita haruslah membuat latihan awal (praktikal) sebelum tibanya bulan Ramadan.

Harus sedar sebelum kita melakukannya, beritahu nafsu/diri kita sendiri: “Kita akan bekerjasama di antara satu sama lain, kalau tidak aku akan memaksa kamu!” Bercakap dengan nafsu kita seperti kita bercakap dengan seorang anak kecil. Kita haruslah sentiasa mengamalkan latihan awal ini dan memperolehi kualiti yang tinggi dan mengekalkannya. Bila kita rasa tidak sabar, beritahu diri kita ia hanyalah cuma beberapa hari lagi, insyaAllah.

Shaikh telah berkata: “Janganlah bersedih jika kita tidak merasai kenikmatannya serta merta, teruskan fokus kita untuk mencapai matlamat. Kita mesti ingat bahawa nafsu/syaitan akan menguji kita.”

LATIHAN AWAL:


1) Memperbaharui taubat kita – berlatih untuk cuba melakukan taubat kita supaya sempurna, taubat adalah amalan seumur hidup. Setiap orang perlu bertaubat. Hati kita telah menjadi seperti kurap/tompok hitam kerana dosa-dosa kita. Kita perlu membersihkan hati kita. Membuang segala kotoran dan bertaubat kepada Allah atas dosa-dosa kita.
Seorang Sahabat berkata kepada pengikutnya (tabiin - generasi kedua terbaik), kamu berbuat dosa dan kamu menganggapnya lebih kecil dari seurat rambut, sedangkan di zaman nabi kita menganggap dosa itu sebagai dosa besar dan membinasakan.

Shaikh telah memberi beberapa contoh yang kita perlu bertaubat daripada:-

a) Menyalahgunakan lidah kita, Rasulullah ﷺ pernah berdoa: “Aku memohon perlindungan dengan Engkau daripada kejahatan lidahku.” Rasulullah ﷺ juga berkata: “Engkau sepatutnya lebih malu kepada Allah daripada orang yang paling bertakwa di dalam masyarakat kamu.”

b) Mengumpat – ini adalah apabila kamu bercakap tentang seseorang di belakang mereka, apabila mereka tidak menyukainya, walaupun apa yang diperkatakan adalah benar. Fitnah – apabila kamu bercakap yang tidak benar mengenai seseorang.

مَنْ كَانَ يُؤْمِنُ بِاللهِ وَالْيَوْمِ الأَخِرِ فَلْيَقُلْ خَيْرًا أَوْ لِيَصْمُتْ
“Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia bercakap benar atau berdiam diri.”

c) Pembohongan - walaupun menambah tokok cerita semasa bercakap. Dan perhatikan bahawa dalam Islam tidak ada ‘tipu sunat’. Penipuan tetap penipuan. 3 keadaan yang dibolehkan :

i) Semasa peperangan
ii) Untuk kedamaian di antara suami isteri seperti apabila isteri bertanyakan tentang masakannya kepada suami, maka suami hendaklah berkata sedap hanya semata-mata untuk menjaga hubungan harmoni rumah tangga mereka walaupun suami tidak menyukai masakan tesebut.
iii) Untuk kebaikan di antara dua orang muslim.

d) Mengumpat (gosip), tidak menghormati, mencaci dan pertuturan buruk. Pertuturan buruk adalah apa yang dituturkan dan bagaimana ia dituturkan dan kamu akan dipertanggungjawabkan ke atas kedua-duanya. Kedua-duanya dimurkai oleh Allah.

e) Menyalahgunakan telefon:
Rasulullah ﷺ bersabda: “Allah membenci 3 perkara terhadap hambaNya, bergosip (sipolan berkata begitu…..si polan berkata begini ) membazir wang dan terlalu banyak bertanya.”

f) Dosa daripada hati yang boleh ditujukan kepada Allah dan orang-orang Muslim yang lain.

g) Riak (menunjuk-nunjuk/besar diri) memuji/berbuat baik kepada orang lain selain daripada kerana Allah.

h) 'Ujoob – perasaan bangga dan yakin akan kesempurnaan pada diri sendiri, tidak perlu berubah. Ini adalah sifat memuji diri sendiri.

i) Kibr – bongkak, merasai dirinya lebih baik daripada orang lain.

j) Hasad dan dengki/benci - Hukumnya adalah haram bagi seseorang yang mempunyai sifat dengki/ busuk hati/benci terhadap orang Muslim yang lain.

Kita juga haruslah bertaubat kerana kita kurang mempunyai sifat malu (modesty). Perhatian perlu diambil terhadap cara kita berpakaian, bertutur kata dan perlakuan di hadapan kaum lelaki dan lain-lain. Kita tidak mahu menimbulkan fitnah terhadap kaum lelaki. Kita haruslah melakukan taubat pada setiap masa yang telah kita sia-siakan.

Shaikh bertanya: “Berapa kerapkah kita perlu membaca Al-Quran” dan dia juga berkata, “Waktu selalu disia-siakan dengan perkara-perkara yang bodoh seperti panggilan telefon yang tidak diperlukan, membeli-belah, menonton TV. Kita harus melakukan taubat daripada cuba memuaskan seseorang lantas mengenepikan Allah..”

Ingatlah semasa bertaubat, tidak ada dosa yang paling besar yang tidak diampunkan Allah.

No comments:

Post a Comment