Wednesday, August 12, 2009

Kembara Royalti: Misi ke Pelantar Cakerawala

Catatan Pengalaman: YB Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam)

Misi kembara ke pelantar Cakerawala – JDA Malaysia dan Thailand bermula pada malam 3 Ogos dari Subang dengan menaiki penerbangan bersama sahabat berlepas ke Kota Baru. Penerbangan tergendala sebentar di Subang dan kami hanya berlepas pada jam 9.55 malam, tiba di Kota Baru jam 10.55 malam. Kami terus dibawa ke tempat ceramah di Tumpat yang telah diatur bersama dengan saudara YB Dato’ Mahfuz Omar, YB Sallahuddin Ayub dan YB Dato’ Kamaruddin Jaafar dalam majlis tersebut.



Walaubagaimanapun, tidak sempat berceramah bersama kerana apabila sampai penceramah terakhir, YB Sallahuddin sedang menggulung. Bila kami tiba jam sudah pun pukul 11.30 malam.

Kami kemudiannya telah dibawa ke tempat penginapan, Sri Tujuh tidak jauh dari situ. Makan terlebih dahulu kerana tidak sempat makan sebelum itu. Apabila tidur, jam sudah pun pukul 2 pagi 4 Ogos. Esok paginya bagun sekitar jam 6, solat Subuh dan sempat ‘curi’ sejam lagi selepas itu kerana terlalu penat.














Jam 9 pagi, kami mula bertolak ke tapak pelancaran Misi Kembara di kawasan Tumpat di mana ramai telah mula berkumpul. Saya difahamkan TGNA tidak dapat hadir kerana berada di Pahang, maka program dilancarkan oleh YB Husham. Semua dibekalkan ubat tahan ‘mabuk laut’ – yang akan sebentar lagi terbukti tidak banyak membantu. Selesai pelancaran kami dibawa ke Tok Bali untuk menaiki kapal Jabatan Maritim. Saya difahamkan, pada saat terakhir, mereka telah bersetuju membawa kami. Namun hanya satu kapal maka sebahagian besar penyokong termasuk pemberita, terpaksa dibawa oleh kapal nelayan yang disewa khas dari ‘pelabuhan’ Getting.



Perjalanannya asalnya lancar dan tiada apa-apa tetapi selepas keluar dari kawasan persisiran pantai, ‘golek’ kapal laju ini mula terasa. Satu demi satu kelihatan pucat. Yang ‘mabuk’ mula mabuk, yang lain mula ‘kecundang’ terbaring. Ada yang memberitahu saya kemudiannya sampai tiga kali dia muntah. Kami bergerak pada kadar kelajuan 17 batu nautika sejam atau lebih kurang 25 km sejam. Kapal bergolek ke kiri ke kanan sambil berhanyun ke depan dan ke belakang. Tak lalu nak makan. Jam 3 petang, hanya 3 suap nasi sahaja yang mampu saya telan. Tekak dan perut rasa lain macam. Itupun kata pihak yang bertugas laut agak tidak bergelora. Kalau bergelora, entahlah macam mana.



Perjalanan hampir 6 jam baru tiba ke destinasi. 6 jam pula untuk kembali ke Tok Bali. Namun bila sampai berhampiran pelantar ramai menggagahkan diri. Yang terlentang bangun. Yang muka pucat tersenyum. Tetapi ada juga yang tidak terlarat dan terus berada di bahagian bawah, di perut kapal. Di bawah terdapat bilik tidur dan rehat. Di bawah ‘goleknya’ kurang terasa. Perut kapal agak aman berbanding perut kami yang tidak aman. Solat jama’ qasar Zohor dan Asr pun dalam keadaan duduk.

Bila sampai di destinasi, permohonan kami untuk melawat pelantar ditolak. Ini memang telah dijangka dan sememangnya tidak menjadi objektif kembara kali ini. Mungkin satu permohonan untuk lawatan rasmi wakil kerajaan Kelantan boleh dibuat kemudian. Yang menjadi objektif kami adalah untuk menzahirkan tuntutan hak rakyat Negari Kelantan dengan mengadakan kembara yang mencabar ini. Sambil itu kami dapat juga mengesahkan jarak dan lokasi yang tepat kedudukan pelantar tersebut. Para juru ukur yang bersama kami mengesahkan, jaraknya hanya 150 km dari Tok Bali dan kordinat-kordinatnya jelas bahawa ianya terletak dikawasan yang dianggap perairan Malaysia/Thailand.



Yang lebih jelas lagi ialah Kerajaan Persekutuan ataupun ‘Malaysia’ tidak memiliki tanah atau perairan. Kerana ini semua adalah milik Negeri. Itulah konsep ‘Federalisme’ yang menjadi asas negara Malaysia. Tanah yang digelar ‘Wilayah Persekutuan’ dibeli dari Selangor dan Sabah (Labuan) dan barulah ianya digelar sedemikian. Begitu juga perairan. Tidak mungkin ianya perairan ‘Malaysia’ kalau ianya tidak terletak di perairan Negeri yang terdekat, dalam kes ini Kelantan.

Maka adalah diharap kerajaan Persekutuan akan merasa bersalah dan membayar balik royalti yang merupakan milik kerajaan Negeri Kelantan, Rakyat Negeri Kelantan. Namun adakah mereka tahu malu?



Dalam perjalanan pulang ke Tok Bali, ramai yang kembali terbaring. Saya bersama YB Saifuddin Nasution duduk bersembang bagi mengelakkan mabuk. Berbagai isu telah disentuh, keadaan PR, tahap persefahaman, mutu kerjasama, kekuatan dan kelemahan. Banyak lagi yang tidak selesai dan perlu diusahakan. Usaha untuk memperkukuhkan dan bukan untuk dilerai atau dipisahkan. Masalah di Pulau Pinang, pilihan raya kecil Permatang Pasir. Masalah di Selangor. Semua sempat dibincangkan sambil mengisi masa sambil kapal bagaikan meluru menuju ke Tok Bali dan ada ketikanya terasa macam ‘melompat’ dilambung ombak.

Fikiran pula mula berkisar kepada kumpulan yang satu lagi dalam kembara ini. Saya difahamkan mereka menaiki kapal nelayan yang hanya bergerak pada kelajuan hanya 7 batu nautika sejam. Ini bererti perjalanan mereka akan mengambil masa lebih 12 jam untuk sampai! Bagaimanalah pula keadaan mereka saya terfikir.



Sampai di Tok Bali jam 11 malam. Berdoa terlebih dahulu. Bersyukur kerana selamat pulang. Bergambar kenangan di jeti. Selepas itu, terus pergi makan! Lapar! Tak termakan semasa di atas kapal. Selepas makan, kembali ke Sri Tujuh, solat dan terus tidur. Jam sudah 3 pagi. Bangun kembali dan bergegas berwudhu’ dan solat Subuh. Seterusnya mandi dan keluar untuk bersarapan pagi. Kemudian kami ke ‘Getting’ untuk menyambut kumpulan kapal nelayan yang masih belum kembali. Duduk bersembang dengan warga nelayan disitu dan ada juga yang menegur kenal kerana forum TV9 bersama DS Adnan Yaakob (MB Pahang). Hanya mereka komen, lain kali pukul rapat! InsyaAllah, jawab saya sambil tersenyum.



Akhirnya jam 11 terpaksa bertolak pergi dan tidak sempat tunggu kerana penerbangan pulang jam 3 petang. Makan tengah hari, membeli belah sedikit dan terus berlepas. Kami tiba jam 4 petang dan menerima berita kumpulan kapal nelayan sudah pun selamat tiba yang disambut TGNA. Alhamdulillah. Semua selamat. Kami 12 jam di tengah lautan, mereka lebih 24 jam!

No comments:

Post a Comment