Monday, October 12, 2009

BINGKISAN DARI YAMAN

Hari Kemarahan Antarabangsa Bagi Pertahan Al-Aqsa
Oleh: Imran al-Malizi
(imran_almalizi@yahoo.com)

Hari Jumaat minggu lalu (13 Syawal 1430), adalah Hari Kemarahan Antarabangsa untuk mempertahankan Masjid-Aqsa sebagaimana yang dianjurkan oleh Ketua Majlis Jawatankuasa Yayasan Al-Quds Antarabangsa, Syeikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi bersempena memperingati tahun ke-9 Intifadhah al-Aqsa (Disember 2000).

Syeikh Abdul Majid al-Zindani, pemimpin parti Islah di Yaman telah membidas secara keras para pemimpin di negara-negara Arab kerana sikap mereka yang berpura-pura tidak mengetahui kegiatan pencerobohan yang sedang berlaku di Masjid al-Aqsa pada ketika ini.

Beliau berkata demikian dalam khutbah jumaat yang disampaikan pada minggu lalu di Masjid al-Rahman di ibu negara Sana'a, khusus membicarakan isu Palestin dan kehormatan ibu kota al-Quds (Baitul-Maqdis).

Beliau juga menegaskan bahawa para pemimpin Arab tersebut tidak mempunyai apa-apa kehendak melainkan hanya tunduk menurut segala kemahuan dan arahan pihak musuh (regim Zionis). Tambahnya lagi, "Sesungguhnya mereka itu lemah dalam berhadapan dengan kepungan dan penjajahan negara-negara asing ke atas diri mereka sendiri."

Menurut beliau, kelemahan tersebut berpunca kerana perpecahan di kalangan umat Arab itu sendiri. Katanya, "Ini kerana kita berpecah dan terbahagi kepada negara-negara yang kecil dan lemah."

Syeikh al-Zindani menyarankan agar diwujudkan kesatuan di kalangan bangsa Arab atau kesatuan atas nama Islam. Ini bakal menjadikan isu Palestin ini dipikul secara bersama oleh umat Islam di seluruh dunia.

Setelah solat jumaat, satu demonstrasi secara besar-besaran telah diadakan di Dataran Sab'een. Rakyat dari segenap lapisan telah datang dari seluruh masjid di Sana'a yang mana khutbah jumaat di kesemua masjid pada hari itu menyeru kepada kebangkitan umat untuk mempertahankan Masjid al-Aqsa.

Dalam perhimpunan rakyat tersebut, Syeikh Sodeq al-Ahmar, presiden sebuah badan bertindak bagi membantu rakyat Palestin, telah berucap dengan menyeru para pemimpin negara-negara Arab agar bersama dengan pendirian rakyat di negara masing-masing. Supaya mereka berada pada satu pendirian dalam menangani isu Palestin.

Beliau menegaskan bahawa hubungan politik beberapa negara Arab dengan Israel tidak akan memberi apa-apa manfaat selain kehinaan dan kelemahan. Oleh itu, beliau menuntut agar segala bentuk hubungan itu dihentikan serta-merta. Usaha yang dilakukan ini bakal meniupkan ruh perjuangan dalam diri umat dan mengarahkan segala kekuatan pada saluran yang tepat.

Kata beliau lagi, "Jika bukan kerana kesungguhan rakyat di seluruh dunia Arab, umat Islam dan ketahanan para perwira Palestin nescaya tidak terlaksana penentangan rakyat Palestin bagi meraih kemenangan, yang mana dicapai dalam situasi yang getir, pengorbanan yang berat, sungai darah yang ditumpahkan mengalir di seluruh bumi Palestin.

Ini menuntut negara-negara Arab dan Islam yang menjalinkan hubungan dengan regim zionis agar mempertimbangkan semula pendirian mereka dan berpihak kepada kemahuan rakyat dalam menyokong usaha penentangan rakyat Palestin dan membekalkan mereka dengan bantuan kewangan dan senjata sebagai satu-satunya pilihan untuk mendapatkan kembali hak yang telah dirampas."

Umat Islam juga perlu diberikan kesedaran betapa usaha kotor yang sedang dilakukan oleh regim zionis untuk merobohkan Masjid al-Aqsa perlu diberikan perhatian serius. Para khatib juga diseru agar terus-menerus menjadikan isu Palestin dan keutamaan Masjid al-Aqsa sebagai kiblat pertama umat Islam sebagai tajuk utama khutbah di seluruh dunia Islam bagi menyuntik kesedaran ke dalam dada umat.

Para ulama dan pendakwah juga diseru agar memainkan peranan dan menjalankan kewajipan mereka terhadap apa yang sedang berlaku di bumi Palestin yang berada di bawah penjajahan pada ketika ini. Juga mereka perlu memainkan peranan yang penting dalam menangani bahaya yang sedang mengancam umat Islam di negara masing-masing. Segala unsur-unsur yang menyelewengkan dan menjauhkan umat daripada memberikan perhatian kepada isu-isu Islam perlulah diatasi.

Para pembesar dan pemerintah di negara-negara dunia Islam juga perlu mengenepikan segala pertelingkahan dan perbezaan pendapat dengan golongan-golongan berhaluan Islam agar mereka berada pada satu saf dalam menangani masalah-masalah umat Islam.

Majalah berhaluan Islam al-Mujtama'a yang berpusat di Kuwait dalam keluaran 15-21 Ogos 2009 telah menyiarkan gambar pada kulit hadapannya replika Haikal (Kuil) Sulaiman yang ingin didirikan oleh regim zionis setelah dirobohkan Masjid al-Aqsa kelak.

Replika dengan skala yang besar itu dibawa khas ke tembok sebelah barat Masjid al-Aqsa yang kini dikuasai oleh golongan Yahudi di mana mereka melaksanakan upacara-upacara ibadat mereka di situ.

Tajuk utama pada kulit majalah al-Mujtama'a itu berbunyi; "Wahai orang-orang yang tidur! Berwaspadalah kamu! Haikal Yang Diimpikan (Yahudi) telah pun sampai ke dataran Masjid al-Aqsa."

Pada muka surat 18-19, disiarkan beberapa gambar yang menunjukkan kerja-kerja pemasangan replika tersebut yang sedang dijalankan oleh para pekerja berbangsa Yahudi.

Tertulis kata-kata berikut di halaman 18: "Inilah dia Haikal (kuil) Yang Diimpikan (Yahudi), sesungguhnya orang-orang Yahudi telah membina replika yang berbentuk untuk mengambarkannya.

Gambar-gambar ini menunjukkan kerja-kerja memindahkannya ke Masjid al-Aqsa al-Mubarak, sebagai satu pengisytiharan untuk membinanya di atas bumi al-Aqsa dan di tengah-tengah datarannya, (replika itu) dibuat untuk tujuan pameran bagi orang-orang zionis (Yahudi). Sebagai satu permulaan untuk merobohkan Masjid al-Aqsa itu sendiri setelah mereka dapat menguasai keseluruhannya dan mendirikan Haikal yang Diimpikan.

Allah tidak mengizinkan untuk ia diruntuhkan menurut perancangan dan peraturan mereka, "..mereka memikirkan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya itu. dan Allah sebaik-baik pembalas tipu daya." (al-Anfal: 30).

Gambar-gambar ini ditujukan kepada orang-orang yang tidur, orang-orang yang lalai, orang-orang yang tertutup (hatinya), orang-orang yang melakukan perdamaian dengan zionis!! Tiada daya upaya dan kekuatan melainkan dari Allah."

No comments:

Post a Comment