Monday, October 5, 2009

Abdul Azeez: Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik 2009

Berita Harian Online 3/10/2009

Abdul Azeez ditumbuk penyokong lawan

PORT DICKSON: Pengerusi Biro Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, mendakwa beliau ditumbuk oleh kira-kira sembilan penyokong parti lawan ketika melintas masuk ke pusat penamaan calon pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang sebentar tadi hingga mengalami kecederaan di leher kiri.

Manakala Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob, yang turut berada di situ sempat dilindungi oleh pengawal peribadinya.

Azeez berkata, beliau akan mendapatkan nasihat ketuanya sebelum membuat laporan polis dan akan mendapatkan rawatan di hospital berhampiran.

Sikap penyokong Pas tidak cerminkan Islam: TPM

PORT DICKSON: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sikap biadap penyokong pembangkang dari Pas yang memukul dan menumbuk penyokong Umno tidak melambangkan sikap parti itu yang kononnya memperjuangkan Islam.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini adalah contoh parti yang tidak beradab sedangkan pada masa yang sama ia mengaku memperjuangkan Islam.

"Mereka kata Islam itu berhemah, berbudi pekerti, berakhlak tinggi, bermoral tetapi nampaknya mereka ini tidak seperti parti Islam," katanya kepada pemberita selepas penamaan calon Umno dan Pas di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson hari ini.

Beliau mengulas insiden Pengerusi Biro Putera Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, ditumbuk oleh penyokong Pas ketika sedang berjalan kaki menuju ke pusat penamaan calon pagi tadi.

Penyokong pembangkang juga cuba menyerang Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob tetapi beliau sempat dilindungi pengawal peribadinya.

Seorang penyokong Umno juga turut dipukul oleh penyokong Pas sehingga luka tetapi pihak polis ketika dihubungi masih belum menerima laporan dari mereka.

Muhyiddin juga melahirkan rasa kesal kerana sikap penyokong pembangkang ini sudah beberapa kali berlaku dalam pilihan raya sebelum ini dan penyokong yang mengakui diri mereka ini Islamik sebenarnya lebih gemar menggunakan taktik kotor, kutuk mengutuk dan fitnah menfitnah.

"Saya ada baca kenyataan Mursyidul Am (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat), dia kata kita kena berhemah, jangan kritik peribadi, dia cakap je tapi cakap tak serupa bikinlah, saya percaya Suruhanjaya Pilihan Raya dan pihak keselamatan mahukan pilihan raya ini berjalan dalam keadaan yang aman," katanya.

Muhyiddin berharap lebih ramai pengundi akan keluar untuk menunaikan hak mereka dan beliau tidak mahu penyokong pembangkang ini menimbulkan suasana ugutan dan ketakutan sehingga menyebabkan orang ramai tidak mahu keluar ke pusat mengundi.

"Mana ada laporan keluar Umno pukul orang...masa pilihan raya Puteri Umno kena baling batu, botol. Kita ikut tertib dan peraturan, budaya kita pun memang budaya yang baik dan selama ini pun kita amalkan mematuhi undang-undang," katanya. - Bernama

HARAKAH Online 5/10/2009


Bukti bergambar, Azeez bukannya ditumbuk!
Ustaz Idris Ahmad
Mon | Oct 05, 09

Laporan Ketua Pemuda Umno, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang mendakwa telah ditumbuk oleh lebih kurang 10 orang penyokong Parti Islam Se-Malaysia (PAS) semasa hari penamaan calon mengemparkan seluruh negara.

Penyokong PAS dikatakan menyerang beliau ketika beliau bersama Datuk Ismail Sabri berjalan berhampiran dengan kawasan penyokong PAS yang sebenarnya menjadi kawasan larangan bagi penyokong Umno-BN semasa hari penamaan calon sabtu lalu.

Beliau telah membuat laporan Polis pada hari yang sama dan mendakwa mengalami lebam di tengkuknya. Beliau juga dilaporkan mengalami muntah-muntah dan telah dimasukan ke Hospital sehari selepas kejadian.

(Gambar1:Ketibaan Azeez dan rombongannya di kawasan penyokong PAS)

Bagaimanapun 3 keping gambar yang menunjukkan kejadian sebenar telah diterima dan mengesahkan bahawa Azeez telah berbohong. Beliau melalui kawasan penyokong PAS walaupun sudah ditegur oleh pihak Polis.


(Gambar 2: Azeez disapa penyokong PAS)


Azeez disapa ketika mula tiba di kawasan penyokong PAS. Ketika melalui kawasan berkenaan, seorang penyokong PAS menepuk bahu beliau, bukannya menumbuk seperti yang didakwa. Rakaman gambar yang dibuat menunjukan beliau hanya tersenyum dan berlalu pergi tanpa adanya sebarang aksi tumbuk menumbuk.

PAS mahu Azeez meminta maaf kepada rakyat Bagan Pinang dan seluruh negara atas pembohongan yang beliau lakukan.

(Gambar 3: Azeez dan rombongan berlaku pergi tanpa sebarang insiden)

PAS yakin rakyat sedar bahawa lakonan beliau kali ini hanyalah semata-mata untuk meraih undi simpati dari rakyat.

Namun rakyat jauh lebih bijak dari pemimpin BN yang gagal membuat skrip dan lakonan yang baik semasa hari penamaan calon.

Ketua Penerangan PAS Pusat_

*pelakon utamanya Ismail Sabri la....

No comments:

Post a Comment