Thursday, May 19, 2011

Sultan Muhammad ke-V Malikussoleh

Di Kelantan rakyat menggelarkan baginda Sultan Kelantan yang baru sebagai “Malikussoleh” … iaitu pemerintah yang soleh. Tuanku Muhammad Faris Petra telah selamat dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29 pada 13 September lalu dan kini bergelar Sultan Muhammad ke-V. Perkembangan yang berlaku di Kelantan mengenai keperibadian Baginda al-Sultan, bukan setakat menarik minat rakyat jelata negeri Kelantan, bahkan seluruh lapisan masyarakat di Malaysia yang ingin ‘menumpang kasih’ di bawah payung putera istana Kelantan yang islamik. Sehingga kini ramai yang masih menunggu saat pertabalan Tuanku Sultan Muhammad ke-V sebagai Sultan Kelantan ke-29.

Pemilihan putera berusia 41 tahun yang juga anakanda sulung, Tuanku Ismail Petra dan Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, juga mengakhiri kemelut menyelubungi Istana Kelantan. Pemasyhuran itu mencipta sejarah keluarga diraja di negara ini kerana baginda dilantik menjadi Sultan untuk memerintah negeri ketika ayahandanya masih hidup. Namun, pelantikan baginda dibenarkan mengikut Perkara 23A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua). Majlis Perajaan Negeri (MPN) Kelantan yang bersidang sebulat suara memilih, mengesahkan Tuanku Muhammad Faris Petra sebagai raja memerintah dan menaiki takhta kerajaan Kelantan

Sultan Muhammad ke-V
Paduka Sri Sultan Muhammad V ibni Sultan Ismail Petra (Tengku Muhammad Faris Petra), Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Kelantan Da’ar ul Na’im. Baginda diputerakan di Istana Batu, Kota Bharu, Kelantan pada 6 Oktober 1969, merupakan anak sulung Paduka Sri Sultan Ismail Petra ibni al-Marhum Sultan Yahya Petra, Sultan dan Yang di-Pertuan Negeri Kelantan Da’ar ul-Na’im. Baginda di mahkotakan sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 6 Oktober 1985. Sebelum dilantik sebagai Pemangku Raja Kelantan dengan gelaran Yang Maha Mulia pada 24 Mei 2009 akibat ketidakmampuan ayahanda baginda memerintah setelah mengalami penyakit strok yang serius. Baginda dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan pada 13 September 2010 dengan bergelar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Sri Sultan Muhammad V ibni Sultan Ismail Petra, di Balairong Sri, Istana Balai Besar, Kota Bharu.

Insya-allah, mengikut penggiliran sistem monarki di Malaysia, Baginda bakal dimasyhurkan sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong pada 14 Disember 2011 mengikut perkiraan secara rawak dan seterusnya bakal ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-15 pada 15 Disember 2016. Mudah-mudahan Allah lanjutkan usia al-Sultan Muhammad V. Allahu Akbar! Tuanku Al-Sultan pernah bertitah bahawa Baginda memikul amanah Paduka Ayahanda untuk mentadbir negeri dengan berhemah dan menjaga kebajikan rakyat jelata (sebelum ayahanda baginda gering). Pesanan itu menjadi pegangan dan prinsip hidup Tuanku Al-Sultan yang baru dan di sinilah letaknya “barakah” yang telah dikurniakan oleh Allah S.W.T

Pendidikan awal baginda bermula di Prasekolah – Tadika Fatima Convent, Kota Bharu 1974 – 1975. Selepas itu baginda meneruskan persekolahan di Sekolah Rendah Sultan Ismail 1, Kota Bharu dari tahun 1976 – 1981. Baginda menduduki kelas persediaan – The Alice Smith School, A-Level – Oakham School Rutland, England pada 1983-1989 sebelum meneruskan Pengajian Diplomatik – St Cross College dan Oxford Centre for Islamic Studies pada tahun 1989-91. Pengajian Hubungan Diplomatik dan Pentadbiran Perniagaan – Huron University College, London Pengajian Perhubungan Diplomatik – Deutsche Stiftung Internationale Entwicklung, Berlin. European Business Administration – European Business School London.

Kenali Sultan Muhammad ke-V.
Berjubah.
Baginda sering memakai jubah atau berbaju ‘gumbang’ serta berkopiah. Baginda juga seorang imam kepada makmumnya. Pada Januari 2010, dikala ayanhanda baginda, Sultan Ismail gering, baginda sendiri telah menjadi imam kepada ribuan rakyat jelata Kelantan menunaikan solat hajat berdoa akan kesejahteraan ayahandanya. Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu menjadi saksi baginda mengimamkan solat hajat yang dihadiri lebih 1,000 rakyat negeri itu. Tuanku Muhammad Faris sudah lama diketahui rakyat sebagai putera istana yang cintakan agama dan sering menjadikan masjid sebagai lokasi utama lawatan semasa program menziarahi rakyat di seluruh negeri. Pada hari-hari biasa, Masjid Muhammadi yang merupakan Masjid Negeri adalah masjid utama tempat baginda menunaikan solat berjemaah.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad memberitahu, Tuanku Muhammad Faris sememangnya gemar mendekati golongan agama. Dedahnya, dari dahulu lagi setiap orang daripada 15 anggota Jemaah Ulama, Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri sudah mempunyai nombor telefon bimbit baginda untuk kemudahan berhubung bagi memberi sebarang pandangan dan nasihat.
“Tuanku Sultan memberi nombor telefonnya kepada kami secara peribadi dan berpesan supaya menelefon baginda pada bila-bila masa jika ada perkara yang dirasakan perlu ditegur dan dinasihati. Baginda memberi peluang sebegitu terbuka kepada ahli Jemaah Ulama untuk menegur baginda secara langsung tanpa ada sebarang halangan atau protocol. “Saya tidak mengetahui jika ada ulama yang pernah menghubungi baginda khusus untuk tujuan itu tetapi begitulah istimewanya Tuanku Muhammad Faris dalam memberi pengiktirafan kepada ahli agama,” katanya. Tambahnya, baginda juga sudah beberapa kali menunaikan fardu haji dan kali terakhir menyempurnakannya pada tahun 2004. “Pengukuhan asas dan ilmu agama baginda ini sebenarnya bermula sejak baginda kecil lagi. Ia sudah menjadi tradisi keluarga diraja untuk menjemput para ulama datang ke istana negeri memberi kuliah agama.“Antara yang pernah menjadi guru kepada Tuanku adalah bekas Mufti Kelantan iaitu Allahyarham Datuk Mohd. Nor Ibrahim manakala selepasnya pula ilmuwan tersohor Allahyarham Datuk Yusoff Zaky Yaacob.

“Pelbagai aspek agama disentuh daripada bab akidah, fekah dan akhlak menerusi pembacaan kitab-kitab khusus,” kata Mohamad Shukri yang kini menyambung tugas menyampaikan kuliah agama kepada keluarga diraja. Beliau berkata, sejak dari kecil, baginda berguru mengaji al-Quran dengan seorang qari yang pernah menjulang nama negara di peringkat antarabangsa yang juga bilal ternama negeri ini iaitu Nordin Idris. Katanya, sejak bersemayam di Istana Telipot beberapa tahun ini, Tuanku Muhammad Faris tetap meneruskan amalan memanggil ulama ke istana itu dan baginda tidak meminggirkan petugas-petugas dan pegawai pengiringnya dalam majlis ilmu tersebut. “Kesemuanya dijemput hadir. Kuliah itu diadakan setiap minggu dan akan ditunda jika bertembung dengan jadual tugas Tuanku yang lain,” katanya.

“Ambo”.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kerabat Raja Jembal Kelantan, Tengku Mohd.
Norhamzah Engku Hussin pula memberitahu, baginda seorang yang merendah
diri. “Seingat saya, semasa baginda menjadi Tengku Mahkota, baginda sering
menggunakan perkataan ‘ambo’ sebagai kata ganti dirinya apabila berbicara.
Ia jelas melambangkan keperibadian yang merendah diri memandangkan
‘ambo’ itu berbunyi seperti hamba,” ujarnya. “Tapi apabila baginda kini
bergelar sultan, mungkin baginda perlu lebih mengikuti protokol,” katanya.
sambil melafazkan pertubuhannya menjunjung kasih dan taat setia kepada
sultan sepenuhnya.

Ini adalah perbualan antara baginda Sultan Muhammad V dengan seorang
pesakit kronik Hasnah Ibrahim dalam ziarah baginda ke rumah wanita itu
di Kampung Peropok dekat Bachok, Kelantan, Ogos 2010:.. “Mak cik kena
makan ubat, jangan simpan dalam rumah saja. Jangan selang-seli, kalau
terasa mahu muntah pun paksa juga makan. Insya-Allah kalau mak cik
makan ubat ikut jadual akan sihat mungkin tidaklah gemuk macam Datuk
(Datuk Dr. Awang Adek) atau saya (baginda), tapi makin sembuhlah badan
mak cik,” Ternyata gurauan baginda menggambarkan sifat dan
keperibadian baginda yang terlalu merendah diri. Gurauan baginda yang
ketika itu merupakan Pemangku Raja menyebabkan tetamu yang ada di
rumah itu tersenyum termasuk Timbalan Menteri Kewangan,
Datuk Awang Adek Hussin. Mungkin itulah gambaran mudah siapakah
Tuanku Muhammad Faris, 41, yang baru dimasyhurkan sebagai Sultan
Kelantan. Mesra dan prihatin akan keadaan rakyat. Sepanjang bergelar
Pemangku Raja atau Tengku Mahkota, baginda kerapkali dilihat mencemar
duli menziarahi golongan miskin dan ditimpa musibah.

Allahu Akbar!
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Aiseri Alias yang menjelaskan penggantian penggunaan Daulat Tuanku dengan Allahu Akbar dan penggunaan gelaran Sultan Muhammad ke V bagi diri baginda adalah atas perkenan baginda sendiri. Pembaharuan pertama yang dititahkan oleh Tuanku Muhammad Faris Petra adalah supaya seruan “Daulat Tuanku” digantikan dengan seruan “Allahu Akbar” (oleh itu, tidak berbangkit persoalan perubahan seruan ini dibuat oleh Kerajaan Kelantan). Bagaimanapun, walaupun seruan “Allahu Akbar” ini lebih sinonim dengan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tuanku Muhammad Faris Petra kekal berkecuali dari segi politik di mana Baginda akan merestui setiap yang baik dari mana-mana pihak. Masih ada insan yang mempunyai kuasa ditangan, merendah diri.. tidak takbur… kerana tahu akan kekuasan Allah swt lebih dari segalanya.

Istana KDYMM Sultan Muhammad ke V, terdapat pembesar suara terus dari Masjid Telipot bagi mendengar azan solat 5 waktu dan tazkirah setiap hari, adakah sultan lain melakukan demikian atau pemimpin dunia yg lain. Gambar yang diambil dari luar istana mendapati pembesar suara dari masjid yang di sambung ke istana menaungi sekitar istana dan luar istana aktiviti seharian masjid. Ya Allah Kebesaran MU terlalu luas, tiada penghujung di antara setiap penjuru ruang dunia.

BICARA BUAT SEORANG SULTAN
(buat Sultan Kelantan Muhammad Faris Petra)
pada kerendahan dalam pakaian
pada penampilan dalam keramaian
perasaan tertawan kepada sang sultan
pada bicara yang sederhana,
pada gaya yang bersahaja,
jiwa tertarik pada raja,
moga nyata, dia payung rakyat jelata..

inilah nasihat raja dan rakyat…

raja dimulia bukan kerna singgahsana
raja disayang bukan kerna paluan gendang
raja diangkat bukan kerna kalimat ‘daulat’
raja dicinta bukan kerna kuasa
raja dihormat bukan kerna pangkat

raja dimulia kerna takwanya,
raja disayang kerna dia berjuang,
raja diangkat kerna Tuhan memberkat
raja dicinta kerna budi bahasanya,
raja dihormat kerna kasihkan rakyat

raja dibenci kerna buruk budi,
raja dicerca kerna tamakkan harta,
raja dimarah kerna dia bermewah
raja dilupa kerna tinggalkan agama,

apabila raja itu zuhud,
namanya selalu disebut
apabila raja takutkan Allah,
sekelian rakyat jantung diserah
apabila raja sangat sederhana,
jiwa jelata penuh bangga,
apabila raja kuat agama,
dengan ikhlas rakyat berdoa..

tuanku raja yang masih muda,
namun ada teladan untuk semua,
dalam persarungan penuh kerendahan,
dalam kehidupan penuh kerakyatan,
sayang rakyat penuh melimpah
kepada raja kasih tertumpah

Dr MAZA,
160211

1 comment:

  1. best! thanx entry yg bez...mohon share entry ni...

    ReplyDelete