Monday, March 15, 2010

AKTA KEGANASAN RUMAHTANGGA 1941

oleh: Nor Aini Abdullah
SUBJECT: Criminal Procedure, Litigation Malaysia [1996]4 CLJ lv

Akta Keganasan Rumahtangga 1994 (Akta) membekalkan perlindungan ke atas mangsa-mangsa keganasan rumahtangga. Mangsa dalam Akta ini termasuk wanita.

Seksyen 2 Akta mentakrifkan istilah "keganasan rumahtangga" sebagai:

Seseorang itu

a) secara bersengaja atau dengan sedar meletak atau cuba meletakkan mangsa itu dalam keadaan ketakutan kecederaan fizikal;

b) menyebabkan kecederaan fizikal kepada mangsa dengan suatu perbuatan yang diketahui atau yang sepatutnya diketahui akan mengakibatkan kecederaan fizikal;

c) paksa atau mengancam untuk melakukan apa-apa perbuatan seksual atau yang lainnya; yang mana mangsa itu berhak untuk tidak melakukannya;

d) mengurung atau menahan mangsa tanpa kerelaan mangsa itu; atau

e) dengan niat untuk menyebabkan atau dengan disedari bahawa ia berkemungkinan menyebabkan, kesedihan, atau keganasan kepada mangsa itu, melakukan khianat atau kemusnahan atau kesesakan kepada harta.

terhadap: (orang-orang yang dilindung)

i) isteri atau suaminya

– meliputi isteri atau suami de facto, iaitu seseorang yang telah melalui suatu bentuk istiadat yang diiktiraf sebagai istiadat perkahwinan mengikut agama atau adat pihak-pihak yang berkenaan; walaupun istiadat itu tidak didaftarkan atau tidak dapat didaftarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis berhubungan dengan upacara dan pendaftaran perkahwinan.

ii) bekas isteri atau suami

iii) kanak-kanak

– merupakan golongan yang berumur di bawah 18 tahun yang tinggal sebagai seorang anggota keluarga pesalah atau keluarga isteri atau suami atau bekas isteri atau suami pesalah mengikut mana-mana yang berkenaan.

iv) orang dewasa yang tak berkeupayaan

– seorang yang pada keseluruhannya atau sebahagiannya tidak berkeupayaan atau lemah sebab hilang upaya fizikal atau mental atau tidak sihat atau usia tua (ageds) yang tidak sebagai seorang anggota keluarga pesalah.

v) mana-mana anggota lain keluarga, iaitu

1) i) anak lelaki atau anak perempuan dewasa

ii) ibu atau bapa, pesalah itu; atau

2) i) abang, kakak atau adik; atau

ii) mana-mana saudara lain, iaitu

seorang yang mempunyai hubungan persaudaraan melalui pertalian darah seibu sebapa, atau pertalian darah seibu atau sebapa atau melalui perkahwinan atau pengangkatan, termasuk pengangkatan de facto.

Seksyen 3 mengatakan bahawa Akta ini tidak mengurangkan peruntukan-peruntukan Kanun Kesiksaan atau mana-mana undang-undang bertulis lain berhubungan dengan kesalahan, terhadap orang atau harta.

Walaupun s. 2 mentakrifkan istilah ‘keganasan rumahtangga’ tetapi seksyen ini tidak pula mengatakan bahawa ‘keganasan rumahtangga’ itu merupakan satu kesalahan jenayah dengan hukuman dan penalti yang tersendiri.

Ketinggalan ini dengan sendiri telah melemahkan pemakaian Akta ini dalam menunaikan tujuan murninya untuk memberi perlindungan. Jadi, jika suatu perbuatan keganasan rumahtangga berlaku dan perbuatan ini mahu dijadikan suatu jenayah, maka mangsa terpaksa merujuk kepada perundangan yang sedia ada bagi kesalahan-kesalahan serangan dalam Kanun Kesiksaan.2 Prosedur pelaksanaannya pula dijalankan oleh pihak polis dan ia ditentukan oleh Kanun Acara Jenayah3 (KAJ). Amnya mengikut Kanun Acara Jenayah, pihak polis hanya dikehendaki menyiasat kesalahan-kesalahan yang ‘seizable’4 kecuali terdapat perintah dari Pendakwaraya untuk berbuat demikian.5

Aturcara pelaksanaan ini meninggalkan kesan yang serius kerana elemen-elemen keganasan rumahtangga melibatkan tumbukan, melukakan, serangan, hentaman dan lain-lain. Jadi, segala keganasan ini akan diklasifikasikan di bawah s. 319 Kanun Kesiksaan yang merupakan suatu kesalahan ‘non-seizable’ yang mana merupakan satu kesalahan yang bukan serius, maka tangkapan serta merta itu tidak akan berlaku kecuali wujud perintah daripada Pendakwaraya. Untuk mewujudkan kesalahan-kesalahan keganasan rumahtangga sebagai kesalahan-kesalahan ‘seizable’, maka pesalah perlu gunakan senjata atau cara merbahaya untuk mengakibatkan kesakitan, barulah pihak polis akan bertindak dengan serta merta. Pemakaian Akta 521 ini dengan bergantung kepada Kanun Kesiksaan dan Kanun Acara Jenayah tidak mewujudkan apa-apa perubahan-perubahan luar biasa untuk mengukuhkan kedudukan kuasa polis untuk menyiasat dalam kes-kes keganasan rumahtangga.6

Seksyen 4 memperuntukkan:

(1) Mahkamah boleh sementara menunggu penyiasatan berhubungan dengan suatu perbuatan keganasan rumahtangga; mengeluarkan perintah perlindungan interim yang menghalang pesalah daripada menggunakan kekerasan rumahtangga terhadap isteri atau suami atau bekas isteri atau suaminya atau kanak-kanak atau orang dewasa yang tak berupaya atau mana-mana anggota lain keluarga;

(2) dan perintah interim ini tamat bila penyiasatan tamat.

Mahkamah boleh keluarkan beberapa jenis perintah perlindungan, iaitu:

a) perintah perlindungan yang menghalang pesalah daripada menggunakan keganasan rumahtangga terhadap pengadu;

b) terhadap kanak-kanak;

c) terhadap orang dewasa yang tidak berupaya; dan

Mahkamah dalam mengeluarkan mana-mana perintah tersebut boleh menyekat pesalah daripada menghasut orang lain untuk melakukan keganasan terhadap orang yang dilindungi.7

Perintah-perintah lain yang boleh dikeluarkan oleh Mahkamah bagi melindungi orang-orang dalam s. 5 ialah, jika Mahkamah berpuas hati atas imbangan kebarangkalian (‘on the balance of probabilities’) ia adalah perlu bagi perlindungan dan keselamatan, mengeluarkan satu atau lebih perintah-perintah berikut:

(a) Tertakluk kepada sub-seksyen 6(4), memberi orang yang dilindungi hak eksklusif untuk mendiami tempat kediaman bersama; secara keseluruhan atau bahagian tertentu dan mengeluarkan ‘pesalah’ (pendera) walaupun kediaman itu kepunyaan pesalah atau bersama atau disewa pesalah atau bersama.

(b) melarang atau menyekat ‘pesalah’ daripada memasuki tempat kediaman bersama atau kediaman atau kediaman alternatif orang yang dilindungi atau tempat kerja atau sekolah atau institusi lain orang yang dilindungi atau melarang membuat hubungan diri dengan orang yang dilindungi melain dengan kehadiran seorang pegawai penguatkuasa atau orang lain yang dinyatakan dalam perintah;

(c) menghendaki ‘pesalah’ membenarkan orang yang dilindungi memasuki kediaman bersama atau kediaman pesalah dengan ditemani oleh pegawai penguatkuasa untuk mengambil barang kepunyaan orang yang dilindungi;

(d) melarang ‘pesalah’ membuat perhubungan bertulis atau telefon dengan orang yang dilindungi dan menyatakan hal-hal keadaan terhad sahaja yang dibenarkan;

(e) menghendaki ‘pesalah’ membenarkan orang yang dilindungi menggunakan kenderaan yang sebelum itu biasanya digunakan oleh orang yang dilindungi;

(f) lain-lain perintah dan arahan perlu dan simpanan.8

Amnya, semua perintah-perintah di bawah s. 6 ini berkuatkuasa tidak melebihi 12 bulan dari tarikh ia dikeluarkan.

Perintah-perintah s. 6(1)(a) - (f):

a) boleh dibuat atau dibuat semula atas perlanggaran perintah perlindungan mengikut s. 9; atau

b) boleh dilanjutkan tapi tidak boleh melebihi 12 bulan dari tarikh habis tempoh perintah asalnya; jika Mahkamah berpuashati walaupun tiada berlaku perlanggaran sebenar tapi perlanjutan perlu bagi perlindungan dan keselamatan diri orang yang dilindungi.

Perintah larangan atau sekatan atau menghuni atau memasuki terhadap kediaman ‘pesalah’ atau bersama tidak akan menyentuh apa-apa hakmilik atau kepentingan pesalah atau tuanpunya premis.

Mahkamah tidak boleh mengeluarkan suatu perintah untuk mengeluarkan pesalah daripada tempat kediaman bersama yang dipunyai atau disewa keseluruhannya olehnya atau bersama. Melainkan jika Mahkamah berpuashati tidak ada jalan lain untuk menjaminkan keselamatan orang yang dilindungi itu pada masa itu; dan perintah mengeluarkan ini jika dibuat, hendaklah dalam keadaan di mana kediaman bersama itu dipunyai atau disewa keseluruhannya oleh pesalah atau dipunyai atau disewa bersama dan perintah ini boleh dibatalkan jika;

a) suatu kediaman alternatif yang sesuai didapati bagi orang yang dilindungi; atau

b) dibatalkan atau diubahsuaikan bila Mahkamah berpuashati ia tidak lagi perlu bagi menjaminkan keselamatan diri orang yang dilindungi.

Ubahsuai ertinya perintah keluar daripada keseluruhan tempat kediaman kepada sebahagian tempat kediaman atau vice versa.

Mahkamah jika berpuashati boleh menyertakan kuasa menangkap pesalah yang telah diberi perintah perlindungan atau perintah perlindungan sementara jika kecederaan fizikal berkemungkinan berlaku atas orang yang dilindungi.

Jika pesalah melanggar perintah-perintah yang dikeluarkan di bawah ss. 4(1) atau 5(1) atau 6(1)(a) atau (b), pegawai polis boleh menangkap pesalah tanpa waran dibuat terhadap pesalah.

Jika pesalah ditangkap di bawah s. 7(2):

a) pesalah hendaklah dibawa di hadapan Hakim dalam tempoh 24 jam dari masa dia ditangkap; dan

b) dia tidak boleh dibebaskan dalam tempoh itu kecuali atas arahan Hakim, tapi dia tidak boleh ditahan seterusnya di bawah s. 7(3) ini.

Hakim termasuk seorang Majistret.9

Pesalah yang melanggar perintah perlindungan atau mana-mana seksyen lain boleh didenda RM2,000 atau penjara tidak lebih daripada enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Pesalah yang melanggar perintah perlindungan dengan menggunakan kekerasan atau keganasan boleh didenda tidak lebih daripada RM4,000 atau penjara tidak lebih daripada satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam kes perlanggaran kali kedua, dia boleh dihukum penjara tidak kurang daripada 72 jam dan tidak lebih daripada dua tahun dan boleh juga didenda tidak melebihi RM5,000.

Perintah perlindungan termasuk perintah perlindungan interim.10

Seksyen 9 memperuntukkan:

Mahkamah boleh membuat perintah perlindungan yang baru seperti perintah-perintah dalam s. 6(1) jika perintah perlindungan awal dilanggar dan tarikh penguatkuasaannya mengikut tarikh keluar perintah baru.

Mangsa keganasan rumahtangga boleh menuntut pampasan daripada pesalah melalui Mahkamah jika mangsa mengalami:

a) kecederaan diri

b) kerosakan kepada harta

c) kerugian kewangan

dan Mahkamah akan membenarkan tuntutan itu sebagai mana yang difikirkannya adil dan munasabah.

Tuntutan pampasan boleh dibuat sebagai suatu tindakan sivil tanpa mengambil kira tindakan jenayah telah atau tidak diambil atas kesalahan yang sama.

Mahkamah dalam mendengar tuntutan bagi pampasan boleh mengambil kira faktor-faktor berikut:

a) kesakitan dan penderitaaan mangsa itu; jenis dan takat kecederaan fizikal atau mental (berkaitan dengan kesesuaiannya);

b) kes rawatan perubatan bagi kecederaan itu;

c) apa-apa kehilangan pendapatan yang berbangkit daripadanya;

d) jumlah atau nilai harta yang diambil atau dimusnahkan atau dirosakkan;

e) perbelanjaan perlu dan munasabah yang ditanggung oleh mangsa, apabila mangsa terpaksa berpisah atau dipisahkan daripada defendan oleh kerana keganasan rumahtangga seperti:

i) perbelanjaan penginapan yang disumbangkan kepada tempat selamat atau tempat berlindung; persoalan yang timbul ialah – adakah ini termasuk nafkah;

ii) perbelanjaan pengangkutan dan pemindahan;

iii) perbelanjaan yang dikehendaki dalam menubuhkan suatu rumahtangga berasingan tertakluk kepada s. 10(4), iaitu:

a) amaun pinjaman perumahan atau

b) bayaran sewa semua atau sebahagiannya kediaman bersama atau alternatif, mengikut pertimbangan keadilan dan munasabah Mahkamah.

Dalam menimbangkan perbelanjaan perlu dan munasabah dalam s. 10(3)(e)(iii), Mahkamah boleh juga mengambil kira:

a) kedudukan kewangan mangsa dan defendan;

b) perhubungan antara mangsa dan defendan dan persoalan-persoalan kemunasabahannya menghendaki defendan membuat pembayaran;

c) kemungkinan providing lain diambil di antara pihak-pihak itu dan samada ia lebih sesuai dilaksanakan di bawah undang-undang yang lebih relevan bagi orang-orang berkenaan.11

Mahkamah pula dalam memberi perintah perlindungan, boleh sebagai ganti atau tambahan, mengeluarkan satu atau kedua-dua perintah berikut:

a) bahawa pihak-pihak berkenaan dirujukkan kepada badan pendamai12

b) satu atau lebih pihak kepada pertikaian dirujukkan kepada terapi pemulihan psisoterapi atau lain-lain kaunselling pendamaian yang sesuai.

Mahkamah boleh juga beri perintah dari s. 11(1)(a) dan (b) ini semasa mendengar tuntutan untuk suatu pampasan. Mahkamah dalam menimbangkan perintah di bawah s. 11(1) boleh, apabila praktik mengambil nasihat seorang pegawai kebajikan atau mana-mana orang lain yang terlatih atau berpengalaman.

Badan pendamai ialah perkhidmatan atau kaunseling yang diadakan oleh badan-badan yang ditubuhkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan jika pihak-pihak tersebut adalah orang Islam – ia meliputi juga badan-badan yang ditubuhkan di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam berkenaan.13

Persoalan yang timbul ialah sejauh manakah pada hari ini wujudnya badan-badan kaunseling yang terlatih kepakarannya dalam bidang kaunselling di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam di setiap negeri di Malaysia ini?

Perintah perlindungan sementara atau interim boleh diminta sementara menunggu penyiasatan oleh pihak polis berikutan maklumat mengenai suatu keganasan rumahtangga.14

Persoalan-persoalan yang boleh timbul di sini ialah, bila mangsa membuat aduan atau memberi maklumat kepada polis mengenai suatu keganasan rumahtangga; bolehkah mangsa selepas itu terus memohon untuk suatu perintah interim dari Mahkamah, atau perlukah mangsa tersebut kembali dan menunggu sehingga pihak polis membuat penyiasatan lanjut mengenai aduan itu; dan pada tahap mana atau siapakah yang bertanggungjawab untuk memberitahu mangsa bahawa polis telah atau sedang menjalankan penyiasatan terhadap pengaduan mangsa bagi membolehkannya memohon suatu perintah interim?

Persoalan ini perlu jawapan segera bagi menjayakan pelaksanaan Akta ini.

Perintah perlindungan boleh diminta jika wujudnya suatu prosiding jenayah di bawah Kanun Keseksaan atau mana undang-undang bertulis lain apabila tertuduh dipertuduh dengan suatu kesalahan yang termasuk dalam takrif keganasan rumahtangga:

a) sebagai suatu syarat untuk membebaskan tertuduh dengan jaminan atau pada mana-mana peringkat lain prosiding itu; atau

b) semasa mengkompaunkan kesalahan itu bawah s. 260 Kanun Prosedur Jenayah.15

Aduan boleh dibuat di mana-mana daerah, di mana

a) pengadu itu tinggal;

b) pesalah itu tinggal;

c) keganasan yang dikatakan itu berlaku; atau

d) mangsa itu ditempatkan buat sementara dan hendaklah didengar oleh Mahkamah dengan seberapa segera yang praktik.16

Bagi kanak-kanak dan orang dewasa yang tidak berupaya untuk membuat aduan; ia boleh dibuat oleh penjaga atau saudara atau orang yang bertanggungjawab menjaga atau oleh seorang pegawai penguatkuasa.17

Mahkamah mesti menyediakan suatu rekod pendaftaran mengenai semua aduan di bawah Akta ini dan segala perintah perlindungan dan perlindungan interim yang dikeluarkan oleh Mahkamah.

Rekod ini mesti mengandungi butir-butir berikut:

a) nama, jantina dan perhubungan pihak-pihak itu;

b) jenis keganasan rumahtangga, samada melibatkan senjata atau mengakibatkan kecederaan diri dan samada ia memerlukan rawatan;

c) tarikh kuatkuasa dan terma-terma setiap perintah yang dikeluarkan.18

Pendaftar Mahkamah, dalam masa 24 jam dari saat suatu perintah perlindungan atau perlindungan interim dikeluarkan oleh Mahkamah, hendaklah memberi satu salinan kepada pegawai polis yang bertanggungjawab bagi daerah di mana pesalah tinggal dan pegawai polis ini hendaklah menfailkan bukti penyampaian dari pendaftar Mahkamah dalam tempoh tujuh hari selepas penyampaiannya.19

Seksyen 18 pula memperuntukkan:

Mana-mana orang yang mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa suatu kesalahan keganasan rumahtangga telah berlaku atau sedang berlaku boleh memberi maklumat kepada seorang pegawai penguatkuasa. (This is a good section).

Si pemberi maklumat yang suci hati ini tidak boleh menanggung apa-apa liabiliti kerana fitnah atau lain-lainnya.

Tugas-tugas pegawai penguatkuasa termasuklah:

a) membantu mangsa keganasan rumahtangga untuk memfailkan aduan berkenaan;

b) mengadakan atau mengaturkan penangkutan bagi mangsa itu ke kediaman alternatif atau tempat selamat atau tempat berlindung sekiranya pengangkutan diperlukan.

(Rujuk s. 2 – takrif ‘tempat selamat atau tempat berlindung’ ertinya mana-mana rumah atau institusi yang diselenggarakan atau diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat atau oleh mana-mana agensi atau pertubuhan sukarela lain yang diluluskan oleh Menteri bagi maksud Akta ini, atau mana-mana tempat lain yang sesuai (yang mana penghuninya bersedia untuk menerima mangsa itu buat sementara waktu).

Kecuali keganasan rumahtangga itu tergolong di bawah kesalahan-kesalahan ‘non-bailable’ atau tidak boleh dijamin seperti yang tertera di dalam Jadual I Kanun Prosedur Jenayah. Kalau ia merupakan kesalahan-kesalahan ‘bailable’ atau boleh jamin maka polis tidak ada kuasa untuk menangkap kecuali dengan izin Mahkamah atau pendakwaannya atau dengan waran tangkap.

Persoalan-persoalan lain yang boleh timbul bagi melaksanakan peruntukan-peruntukan di bawah Akta 521 ini ialah:

1) Adakah pihak polis tahu tugas-tugasnya dalam Akta ini?

2) Adakah pihak polis hanya menguruskan pengangkutan ke tempat kediaman? atau

3) Bagaimana jika mangsa tidak punya tempat kediaman alternatif? Bolehkah polis menguruskannya?

4) Adakah pengurusan pengangkutan dan kediaman ini dibuat selepas suatu aduan di buat atau mangsa kena tunggu? Berapa lama dan di mana?

c) mengadakan atau mengaturkan pengangkutan bagi mangsa itu ke hospital atau tempat kemudahan perubatan yang terdekat bagi rawatan kecederaan sekiranya rawatan itu diperlukan.

(seksyen kecil ini membawa secara tersirat segala tugas pegawai penguatkuasa terhadap mangsa adalah immediate).

d) menjelaskan kepada mangsa itu hak mendapat perlindungan terhadap keganasan rumahtangga;

e) menemankan mangsa ke kediaman mangsa itu atau kediaman sebelumnya untuk mengambil barang-barang kepunyaannya.

Pegawai penguatkuasa adalah juga pegawai polis mempunyai tugas-tugas tambahan, iaitu:

a) menjalankan kuasa-kuasa penangkapan di bawah Akta ini atau mana-mana undang-undang bertulis lain;

Persoalan di bawah Akta ini tiada kuasa diberi kepada polis untuk menangkap.20 Menteri punya kuasa untuk membuat peraturan-peraturan bagi penyelenggaraan Akta.

Penyelenggaraan termasuk:

a) daftar atau rekod Mahkamah;

b) borang-borang tertentu untuk maklumat, laporan, aduan, perintah atau dokumen lain yang dikehendaki oleh Akta;

c) prosedur memfailkan kes;

d) pembuatan pencarian dan pemberian salinan dokumen-dokumen tertentu;

e) penetapan fee atau bayaran yang boleh dikenakan;

f) lain-lain perkara yang dibenarkan oleh Akta.21

Nota kaki:

1. Akta 521.

2. Kanun Kesiksaan (N.M.B. Bab 45) s. 351.

3. Kanun Acara Jenayah (N.M.B Bab 6).

4. Ibid, s. 2.

5. Criminal Procedure in Malaysia, Mimi Kamariah Majid, Department of Publications, University of Malaya, 1987, p. 59.

6. Rujuk "Domestic Violence Act 1994: An End To A Nightmare" [1995] 1 MLJ x1i-lii.

7. Seksyen 5.

8. Seksyen 6.

9. Seksyen 7.

10. Seksyen 8.

11. Seksyen 10.

12. Seksyen 4.

13. Seksyen 11.

14. Seksyen 12.

15. Seksyen 13.

16. Seksyen 14.

17. Seksyen 15.

18. Seksyen 16.

19. Seksyen 17.

20. Seksyen 19.

21. Seksyen 20, Peraturan-peraturan Menteri ini yang sedang dinantikan bagi menguatkuasakan Akta ini.

No comments:

Post a Comment